Kemalangan

Ibu hamil sambil riba anak antara mangsa dihempap pokok di Kok Lanas

Suasana sayu menyelubungi kawasan kemalangan yang membabitkan tiga beranak maut, dua cedera dan lima selamat dalam kejadian dua kenderaan dihempap pokok di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, malam tadi.

Ini berikutan, mangsa wanita ditemui dalam keadaan sedang meriba anak bongsunya yang berusia lima tahun.

Mangsa, Nik Amirah Nik Ab Rahman, 40 dan anak, Nik Aishah Azzahra, 5, serta suami, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 yang menaiki kereta jenis Nissan Sentra meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala dua anak mereka, Nik Adilia Zulaikha, 11 dan Nik Adam Zarif, 9 yang berada di tempat duduk belakang cedera dan dibawa ke Hospital Machang.

Sebuah lagi kereta jenis Honda City dipandu Shamsiemon Mukhtar, 53, bersama isteri, Jahnilawati Mohd Zain, 52 dan tiga anak, Muhammad Aliff, 26; Muhammad Aiman, 23 dan Isyatul Amalin, 20 terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit.

Katanya, keadaan pilu apabila mengeluarkan mangsa wanita yang didapati sedang meriba anaknya di tempat duduk hadapan kereta.

“Difahamkan wanita itu juga sedang mengandung, selepas mengeluarkan mangsa, kita dapati ketiganya sudah meninggal dunia.

“Bomba mengambil masa dua jam setengah untuk mengeluarkan mangsa, memotong pokok dan kerja-kerja pembersihan membabitkan 10 anggota, satu jentera dan dua jengkaut,” katanya.

Beliau memaklumkan pokok yang menghempap dua kenderaan itu setinggi 50 meter dan sebesar dua pemeluk tumbang akibat ribut dan hujan lebat.

Tambah Roslan, operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Bahagian Trafik Balai Kok Lanas, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang ramai yang membantu memotong dan mengalihkan potongan pokok.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan lanjut.

Saksi, Shamsiemon yang terselamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.04 malam ketika dia dan kereta dipandu mangsa maut sedang melalui jalan dari Machang ke Kota Bharu.

Katanya, ketika mangsa sedang melintasi keretanya, tiba-tiba tanpa sebarang bunyi, sebatang pokok menghempap tepat bahagian depan kereta Nissan Sentra, manakala keretanya dihempap bahagian belakang.

“Saya tengok pokok itu tepat menghempap bahagian depan kereta sebelah (Nissan Sentra), kejadian berlaku sekelip mata.

“Kami yang terselamat terus keluar daripada kenderaan,” katanya yang memaklumkan mahu keluar makan di Kota Bharu bersama keluarga ketika kejadian.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat dalam nahas ngeri itu.

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button