Nasional

Dua pelajar Malaysia maut dalam kemalangan di New Zealand

DUA pelajar Malaysia maut dalam kemalangam membabitkan beberapa buah kereta di Lake Tekapo, New Zealand hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan tragedi yang menimpa pelajar-pelajar terbabit.

Wisma Putra memberitahu, tiga lagi pelajar Malaysia yang turut terbabit dalam kemalangan sama, sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

“Kementerian Luar, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand, ingin mengesahkan insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan lima pelajar Malaysia di Lake Tekapo pada 30 Mac 2024, jam 1.45 petang waktu tempatan.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar,” demikian menurut kenyataan itu.

Pihak Wisma Putra juga sedia membantu sekiranya waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

“Kementerian Luar juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, media tempatan New Zealand melaporkan insiden kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal, berlaku di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki.

Laporan yang memetik pegawai polis tempatan, Craig McKay itu memberitahu, mangsa yang maut itu adalah seorang penunggang motosikal, sementara dua lagi bersama dalam sebuah kereta. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button