Nasional

Pemilik nasi kandar Covid-19 berhadapan saman RM1 juta

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib pemilik kedai Nasi Kandar Salleh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57 yang menjadi punca kepada kluster Covid-19 Sivagangga.

Jika sebelum ini dia didenda RM12,000 dan penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, kali ini dia berhadapan dengan saman penduduk dan pemilik kedai di pekan Napoh, Kubang Pasu, Kedah berikutan  kerugian akibat penyebaran Covid-19. berpunca daripada dirinya.

Saman berjumlah RM1 juta itu dibuat oleh kira-kira 100 penduduk dan peniaga kedai termasuk enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Napoh yang mahu memfailkan saman kepada pemilik restoran Nasi Kandar Salleh itu.

Menurut  Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, saman itu dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin.

“Kami juga menerima seramai 100 pengadu yang terjejas dan 6 badan bukan kerajaan (NGO) yang akan turut serta menyaman pemilik kedai itu.

“Kita mendapat nasihat guaman dari Zunun & Co yang menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk membawa kes saman ini.

“Kami berharap tindakan ini akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar SOP ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun  menjatuhkan hukuman kepada Nezar Mohamed selepas beliau mengaku bersalah. Namun hukuman tidak dapat dijalankan lagi kerana masih dalam proses pemantauan di Hospital Alor Setar.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank Rakyat Jitra pada 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada 3.58 petang, 14 Julai 2020.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didapati berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Media sebelum ini, melaporkan pengusaha kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Jitra, ditahan polis pada 23 Julai lalu, kerana ingkat arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu.

Lelaki terbabit yang berstatus penduduk tetap dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu berada di kedainya ketika diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Akibat daripada perbuatannya itu, sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif Covid-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.-SM

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button