Jenayah

Dua lelaki ditahan curi kabel Plus

MELAKA 17 Jan. – Polis Melaka menahan dua lelaki tempatan disyaki mencuri kabel sistem telefon kecemasan (ETS) di KM174.9 arah Utara Lebuh Raya Plus pada 9 Januari lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.47 pagi itu, polis peronda Plus ternampak dua lelaki berpakaian gelap dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui beberapa gulung kabel dan peralatan memotong dan dianggarkan kerugian berjumlah RM5,000.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat Plus, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) berjaya menjejaki dua suspek yang sedang menyembunyikan diri kira-kira 500 meter daripada tempat kejadian.

“Dua lelaki berusia 37 dan 42 tahun itu berjaya ditahan. Hasil semakan suspek pertama mempunyai 25 rekod jenayah, 10 rekod dadah dan tiga rekod POCA manakala suspek kedua pula mempunyai satu rekod jenayah serta dadah,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Abdul Majid berkata, modus operandi kedua-dua suspek itu dipercayai menyasarkan kabel telefon kecemasan milik Plus di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu dari Jasin hingga ke Tangkak, Johor.

Menurutnya, siasatan awal mendedahkan lelaki berkenaan terlibat sebanyak tujuh kes iaitu satu di Melaka dan enam lagi di Johor.

“Ekoran tindakan suspek itu menyebabkan sebanyak 20 ETS tidak dapat digunakan di sepanjang lebuh raya berkenaan dan keadaan ini menyusahkan pengguna jika berlaku kecemasan,” ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan kini ditahan reman sehingga Rabu ini.

Ujarnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi Seksyen 379 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan serta boleh dihukum sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

(Visited 408 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button