Nasional

Selepas 8 tahun, Malaysia akan meneruskan usaha kesan pesawat MH370

MENTERI Pengangkutan Malaysia Wee Ka Siong sekali lagi mengulangi aspirasi kerajaan negara itu untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) bagi penerbangan MH370 tidak pernah dilupakan.

Simpati dengan kehilangan dan kesengsaraan mereka yang terjejas susulan tragedi kehilangan misteri MH370, beliau berkata Malaysia juga menimbang dengan teliti serta mengkaji semua maklumat baru yang boleh dipercayai bagi mengenal pasti lokasi pesawat itu.

Hari ini merupakan genap tahun kelapan insiden MH370 lenyap tanpa sebarang kesan sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan tidak terjawab mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat malang itu dan keluarga penumpang serta anak kapal dalam keadaan terumbang-ambing.

“Kami hanya memerlukan bukti yang boleh dipercayai serta boleh diambil tindakan sebelum memulakan ekspedisi yang kita yakin mampu membuahkan hasil.

“Maklumat yang boleh dipercayai ini dapat digunakan untuk mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu. Dengan ini, Pertimbangan akan dibuat dalam menentukan masa depan operasi mencari dan penubuhan semula pasukan siasatan,” katanya dalam rakaman ucapan pada Ahad (6 Mac) sempena ulang tahun kelapan MH370.

Tahun lalu, seorang jurutera aeroangkasa Britain mendakwa memperoleh koordinat tepat di mana pesawat MH370 Malaysia Airlines terhempas dan jatuh ke dasar selatan Lautan Hindi, menyuntik harapan baharu salah satu misteri besar penerbangan diselesaikan.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan. – SM

 

(Visited 454 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button