Nasional

Dua lagi jenama vaksin Covid-19 dilulus untuk digunakan

Kerajaan meluluskan dua lagi jenama vaksin Covid-19 untuk kegunaan semasa bencana melibatkan vaksin Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) keluaran CanSino Biologics Inc, China dan Janssen COVID-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 yang telah bersidang hari ini.

Kedua-dua vaksin tersebut telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran Janssen COVID-19 Vaccine yang diperolehi oleh kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan WHO EUL.

Tambah beliau, kelulusan pendaftaran bersyarat tersebut memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

Sementara itu, PBKD turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

“Comirnaty, sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari 2021, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

“Walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan.

KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

Kerajaan katanya, komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran PICK.-SM

 

 

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button