Nasional

Jho Low ditawar suaka oleh sebuah negara

PEMBIAYA Malaysia dalam buruan, Jho Low, telah ditawarkan suaka oleh sebuah negara pada Ogos tahun lepas atas dasar berlaku penganiayaan politik dan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan terhadapnya, lapor akhbar The Straits Times Singapura pada Isnin.

Low berkata demikian ketika menjawab soalan Koresponden Serantau akhbar itu di Kuala Lumpur, Leslie Lopez menerusi temu bual e-mel mengenai tawaran suaka yang diterimanya. Soalan dan jawaban temu bual itu telah disiarkan dalam akhbar tersebut pada Isnin.

“Seperti yang diketahui, saya mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan peribadi yang serius, oleh itu, tidak akan menyentuh mengenai lokasi saya atau maklumat lain seumpamanya

“Bagaimanapun, saya boleh mengesahkan bahawa saya telah menerima tawaran suaka pada Ogos 2019 daripada sebuah negara yang mematuhi prinsip-prinsip Deklarasi Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Eropah berkaitan Hak Asasi Manusia atas dasar berlaku penganiayaan politik dan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan ke atas saya,” kata Low.

Pada Disember tahun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa Jho Low telah ditawarkan suaka oleh sebuah negara namun tidak menyatakan nama negara itu.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret di Malaysia telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Low bagi membantu siasatan dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang ahli perniagaan berusia 38 tahun tersebut sepanjang tahun lepas.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli perniagaan yang dilahirkan di Pulau Pinang itu dikatakan menetap di beberapa lokasi termasuk Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China. – BERNAMA

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button