Nasionalpilihan

Dua hari ujian ‘trak vaksin bergerak’ berjalan lancar, 1,000 pekerja MMC Gamuda terima vaksin

DUA hari ujian ‘trak vaksin bergerak’ yang dilakukan pada semalam dan hari ini berjaya membuktikan yang program tersebut mampu dilakukan untuk membantu negara mencapai ‘herd immunity’ lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan pengalaman semalam dan hari ini, beliau yakin 500 orang boleh mendapat suntikan vaksin dalam tempoh lapan jam.

“Kita dah buat ujian selama dua hari berturut-turut dan telah berjalan dengan lancar dan konsep membawa vaksin kepada rakyat menerusi trak bergerak adalah sesuatu yang boleh dilakukan.

“Pematuhan kepada enam stesen berasingan yang dibuat di tapak suntikan vaksin juga boleh dilakukan tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui dilokasi pemberian vaksin di MMC Gamuda, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 1,000 orang pekerja MMC Gamuda telah hadir untuk mengambil vaksin menerusi trak vaksin bergerak.

Semalam, 1,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah juga telah mengambil vaksin dengan cara sama dengan keutamaan diberikan kepada warga emas.

Menurut Annuar, pihaknya juga telah mengesyorkan supaya projek ini dimulakan pada 15 Jun depan kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Itu serahkan kepada CITF dan KKM untuk menentukan jumlah vaksin yang boleh dibekalkan dan kita harap sistem ini akan mampu memberi vaksin kepada 15,000 hingga 20,000 suntikan dalam sehari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu yang PPR yang akan diberikan vaksin melalui sistem ini sudah dikenal pasti.

Namun, senarai untuk syarikat-syarikat belum dimuktamadkan memandangkan jumlah pekerja yang ramai dan perkara itu sedang dalam proses penilaian. -SM

(Visited 416 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button