fbpx
Nasional

Dua elemen penting tidak dibuktikan untuk dakwa Najib pada 2015

MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyediakan cadangan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan pada 2015.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, 52, berkata bagaimanapun, agensi berkenaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mendakwa Najib ketika itu kerana dua elemen penting bagi kesalahan di bawah seksyen tersebut tidak dibuktikan dalam kertas siasatan.

Dzulkifli, yang ketika itu merupakan Pengarah Bahagian Pengurusan Kes-Kes Jenayah AGC, berkata SPRM mencadangkan agar pendakwaan terhadap Najib dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Seksyen 403 Kanun Keseksaan adalah berkaitan penyelewengan harta manakala Seksyen 23 Akta SPRM menyentuh mengenai penyalahgunaan kuasa.

“Saya telah diarahkan Peguam Negara (AG) ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk mengkaji kertas siasatan berkenaan kedua-dua kes melibatkan Datuk Seri Najib iaitu SRC International Sdn Bhd dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang disediakan SPRM.


“Tan Sri Apandi berpendapat bahawa ada dua isu penting yang perlu disiasat lanjut oleh SPRM iaitu isu pengetahuan sama ada Datuk Seri Najib tahu duit yang masuk ke akaun beliau adalah duit syarikat SRC International Sdn Bhd dan sekiranya beliau sendiri yang mengarahkan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaunnya,” kata beliau.

Dzulkifli berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-90 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berkaitan penyelewengan dana SRC International.

Kepada soalan Muhammad Shafee sama ada SPRM kembali dengan siasatan lanjut mereka, Dzukifli menjawab “Ya.”

“Bagaimanapun, SPRM tidak menjawab dua isu penting yang ditimbulkan sebelum ini dan memaklumkan bahawa tiada keterangan menyatakan Najib memberi arahan untuk wang tersebut dimasukkan ke dalam akaunnya.

“Selepas itu kami mengkaji kembali minit yang dikemukakan SPRM dan mengangkatnya kepada AG untuk membuat keputusan,” katanya.

Muhammad Shafee: Apa yang dilakukan AG selepas mendapat kembali kertas siasatan itu?

Dzulkifli: Kami telah berbincang dan AG memutuskan untuk (melabelkannya sebagai) ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) atau kemaskan untuk simpanan.

Muhammad Shafee: Untuk kes mana?

Dzulkifli: Bagi kedua-dua kes SRC International dan 1MDB. Ini kerana SPRM mencadangkan Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan bagi seksyen itu, elemen yang merujuk kepada pengetahuan adalah penting.

Turut memberi keterangan hari ini ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh, 65.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.- BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button