Nasional

Dua ditahan di KLIA cuba seludup ratusan haiwan eksotik

Cubaan dua lelaki tempatan untuk menyeludup keluar ratusan haiwan eksotik berjaya digagalkan dalam satu pemeriksaan secara bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.

Hasil pemeriksaan pada pukul 6.30 pagi itu berjaya menemui lebih 300 ekor haiwan liar spesis eksotik dan dilindungi yang disorokkan dalam bagasi milik dua lelaki tersebut.

Antara spesies haiwan eksotik tersebut adalah blue iguana, red-eared slider, Savannah monitor, Nile monitor, common spotted cuscus, black-throated monitor dan lain-lain lagi.

Siasatan awal mendapati kedua-dua individu tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau surat kebenaran membawa keluar hidupan liar berkenaan. Mereka telah ditahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Kesemua hidupan liar tersebut telah dirampas serta disita untuk tindakan lanjut. Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan lebih kurang RM460,000.00.

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu antara AKPS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) akan terus dipergiatkan demi membanteras penyeludupan hidupan liar serta memastikan pemuliharaan biodiversiti negara terus terpelihara.

Sebarang pemilikan, pemindahan, atau perdagangan hidupan liar tanpa kebenaran sah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button