Politik

Zambry dan Catherine jalinkan pertemuan dua hala antara Malaysia – Perancis

Menteri Luar Negeri, Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan, Puan Yang Terutama Catherine Colonna, Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis di Paris pada 2 Jun 2023.

Semasa pertemuan tersebut, kedua-duanya telah menilai kemajuan kerjasama sedia ada dan meneroka potensi kolaborasi baharu yang lebih komprehensif.

“Kami juga bersetuju agar interaksi dan kerjasama dua hala di dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan, kesihatan dan pelbagai lagi perlu terus dipertingkatkan.

“Kami telah membincangkan usaha-usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama terutamanya komitmen Perancis dalam meningkatkan lagi kerjasama pembangunan dengan ASEAN serta situasi yang membimbangkan di Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Zambry, kedua-dua mereka turut menzahirkan sokongan terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan inklusif demi kemakmuran perdagangan dan perniagaan.

“Saya juga menyambut baik kenyataan lisan dan bertulis yang dizahirkan Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis berhubung pendirian rasmi Kerajaan Perancis yang menyokong penuh kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia berdasarkan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Ini seterusnya dapat menyangkal percubaan mana-mana pihak yang cuba mencabar dan menafikan
kedaulatan Malaysia,” katanya.

Secara kesimpulannya, lawatan kerja Zambry ke Paris telah berjaya untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang telah erat terjalin antara Malaysia dan Perancis serta pada masa sama memastikan kepentingan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button