JenayahNasionalNegeri

Dua bulan tapak khemah dalam hutan jadi “port” proses, jual air ketum

DIPERCAYAI sudah hampir dua bulan sebuah tapak khemah di dalam hutan telah dijadikan sebagai “port” memproses, membungkus dan menjual air ketum.

Selama tempoh itu, “port” di tempat terpencil ini dirasakan sudah cukup selamat daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

Barang rampasan hasil serbuan di tapak khemah di dalam hutan bagi memproses, membungkus dan menjual air ketum.

Sangkaan itu meleset apabila suspek telah diserbu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada pukul 12.30 tengah hari semalam semasa sedang membungkus air ketum.

“Port” tapak khemah di dalam hutan itu terletak di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Guar, Bukit Keteri, Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Assiten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek yang terkejut ketika diserbu itu dikatakan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap beberapa meter dari tempat kejadian.


Berikutan itu katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai mengambil upah membungkus dan menjual air ketum ditahan.

Mohd. Shokri berkata, semasa serbuan itu, kesemua barang di tempat kejadian bernilai lebih kurang RM 3270 telah dirampas.

Katanya, ia termasuk lima botol ubat batuk (500 ml), sebuah periuk berisi cecair hijau yang dipercayai daun ketum (120 liter) serta tiga bekas plastik biru mengandungi 135 bungkus cecair juga dipercayai air ketum (135 liter).

Selain itu katanya, juga dirampas bekas polistrin mengandungi 37 bungkus cecair yang dipercayai air ketum (37 liter) dan setiap satu guni putih yang didalamnya mengandungi daun ketum seberat 12 dan 18 kilogram (kg).

“Turut dirampas tong gas BHP 16.3 kg, satu unit dapur masak, satu unit penapis aluminium dan satu penyedok air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Shokri berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau jenayah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Suspek telah dibawa ke IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga giat mengesan pemilik cecair dan daun ketum itu bagi membantu siasatan.

Mohd Shokri berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki.

Katanya, jika disabitkan kesalahan bagi memiliki ubat batuk boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda RM100,000.00 manakala bagi kes memiliki daun ketum jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000.00 atau penjara tidak
lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali. – SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button