Negeri

Dua bot tangkap siput retak seribu secara haram ditahan

DEGIL. Sekalipun tangkapan siput retak seribu diharamkan di perairan Perlis tetapi masih ada nelayan yang engkar.

Semalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis telah menahan lagi dua bot fiber di dua lokasi berbeza kerana disyaki menangkap siput retak seribu di sekitar perairan Kuala Perlis.

Tangkapan bot pertama di atas kesalahan menangkap siput retak seribu secara haram di peraiaran Kuala Perlis, semalam. – GAMBAR IHSAN ZON MARITIM KUALA PERLIS

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, penahanan dibuat oleh sebuah bot ronda yang melakukan rondaan rutin menerusi Op Aman dan Op Khas Pagar Laut.

Katanya, kedua-dua tangkapan itu pada kedudukan kira-kira satu batu nautika daripada barat daya pantai Sungai Padang sekitar pukul 11.15 pagi dan 11.30 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan salah satu bot fiber terbabit tidak memiliki nombor perdaftaran manakala sebuah lagi bernombor pendaftaran PSS 1173,” katanya.

Mohd Hashim berkata, kedua-dua bot berpangkalan di Kuala Perlis ini disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan.

Katanya, ia termasuk kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

“Dua set sangkar besi berupa tangguk siput dan hasil laut  siput jenis kerang seberat 25 kilogram juga dirampas,” ujarnya.

Tambah beliau, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot, enjin, sangkar besi dan siput jenis kerang sekitar RM11,100.

“Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 18 hingga 48 tahun, bot serta hasil tangkapan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi penangkapan siput jenis retak seribu ini adalah menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak).

Katanya lagi, penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan berikutan Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak mengeluarkan sebarang jenis lesen bagi aktiviti penangkapan siput.

“Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di negeri Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja,” katanya.- SM

(Visited 440 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button