Nasional

Dua beranak tembak mati kucing guna senapang angin ditahan polis

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 21 Jun – Gara-gara menembak mati seekor kucing peliharaan milik seorang jiran dengan menggunakan
senapang angin, dua lelaki iaitu bapa dan anaknya telah ditahan polis di sebuah rumah di Bukit Rambai, dekat sini
petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit berkata, polis menahan dua suspek
berusia 62 dan 27 tahun itu selepas menerima laporan daripada pemilik kucing bahawa haiwan peliharaannya
telah ditembak hingga mati menggunakan senapang angin.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, haiwan milik mangsa berusia 44 tahun itu mengalami
muntah darah dan sejurus mendapat rawatan di klinik haiwan, mendapati terdapat kesan luka kecil serta
menemui sebiji geguli besi di dalam badan kucing itu.

Beliau berkata, kucing itu tidak dapat diselamatkan sewaktu menjalani rawatan di klinik berkenaan.

“Susulan daripada laporan yang diterima, polis telah menahan suspek utama berusia 62 tahun di rumahnya
kira-kira pukul 8.00 malam semalam manakala anaknya pula ditahan di hadapan IPD Melaka Tengah kira-kira
pukul 1.30 tenghari ini.

“Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas beberapa alatan yang dipercayai digunakan sebagai alat ganti
senapang angin.

“Turut ditemui sebanyak 17 butir peluru penabur di dalam sebuah bilik sewaktu polis mengeledah rumah suspek,”
ujarnya di sini hari ini.

Patit berkata, kucing itu ditembak menggunakan senapang angin kerana suspek marah haiwan itu memasuki
rumah mereka.

Menurutnya, daripada siasatan awal yang dijalankan kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut ke atas kucing peliharaan jiran mereka.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi siasatan lanjut berhubung kes
tersebut bermula hari ini sehingga 24 Jun ini.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan
Haiwan 2015.

Sabit kesalahan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara
selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

(Visited 354 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button