NasionalNegeri

Perlis harap wujud kerjasama dengan Palestin – Pemangku Raja

Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menamatkan lawatan kerja ke Perlis selama tiga hari yang berakhir petang semalam.

Lawatan kerja itu termasuk kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, lawatan dan perbincangan strategik bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Pauh Putra dan lawatan ke Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi Walid semasa melawat Projek Transfornasi DiRaja Kampung Warisan Nelayan Warna Warni di Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Selain itu diberikan Taklimat Pembangunan Negeri dan Peluang Pelaburan di Negeri Perlis oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis serta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), perbincangan dengan MAIPs, Jabatan Mufti Negeri dan juga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Walid turut berkunjung ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra bagi menyampaikan Syarahan Umum Antarabangsa berjudul ‘The Palestinian – Malaysian Bilateral Relation And Recent Updates About The Palestinian Occupied Territory’ yang dihadiri oleh para pelajar terdiri daripada wakil pelbagai institusi pengajian awam dan swasta di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan melihat Walid mencuba “cucoq” semasa melawat Projek Transfornasi DiRaja Kampung Warisan Nelayan Warna Warni di Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Beliau dan delegasinya turut tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat menarik di negeri Perlis seperti Empangan Timah Tasoh, Muzium Kota Kayang, Superfruits Valley di Chuping dan ‘Sun Set Boating’ di sepanjang Sungai Perlis.

Kemuncak program ialah apabila beliau diperkenankan untuk mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-48 bagi tahun ini.

Program ini untuk menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar kawasan Projek Transfornasi DiRaja Kampung Warisan Nelayan Warna Warni di Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Melalui program kayuhan itu, Walid dan delegasinya dapat melihat sendiri cara hidup dan budaya serta keunikan yang tersendiri di Kampung nelayan yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan baharu itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan diiringi Walid melihat pemandangan Kuala Perlis dari Jambatan Tuanku Syed Putra.

Beliau turut mencuba makanan yang disediakan penduduk di perkampungan berkenaan seperti ‘cucoq’, aiskrim Malaysia dan garam belacan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, diharap sepanjang lawatan kerja ini akan memberikan impak yang positif kepada hubungan antara Malaysia dan Palestin.

Baginda berharap agar pelbagai kerjasama pada masa akan datang dapat diwujudkan antara Palestin dan Perlis.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66 tidak lama lagi, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengulangi apa yang dikongsikan Walid kepada Baginda iaitu segenap lapisan masyarakat di negeri dan negara ini perlu sentiasa bersyukur kerana dapat tinggal dalam keadaan yang stabil, aman dan sejahtera berbanding dengan penduduk di Palestin.

“Maka sama-samalah kita rakyat Perlis dan Malaysia berusaha keras untuk hidup utuh bersatu padu mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang kita warisi sejak berzaman ini secara bersama,” titah Baginda. – SM

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button