Mahkamahpilihan

Dua anggota polis didakwa rompak wanita warganegara Indonesia

Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia dan memiliki pasport mangsa tanpa kebenaran sah, minggu lalu.

Tertuduh, TS Praveen, 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Kedua-duanya didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Anisa dan mengambil gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia serta kad juruwang automatik (ATM) Hong Leong Bank mangsa membabitkan kerugian RM1,800.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 10.00 hingga jam 11.30 malam di sebuah hotel bajet di Plaza Mahkota di sini 3 April lalu .

Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Mereka juga didakwa secara bersama tanpa kuasa sah dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik Anisa di tepi Jalan Kota Melaka, di sini, pada masa dan tarikh sama.

Dakwaan mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tidak mengganggu mangsa manakala peguam Andrew Lourdesmerayu jaminan rendah dengan alasan kedua-dua anak guamnya adalah anggota polis yang telah berkhidmat tujuh tahun.

Katanya, ayah Praveen adalah pesara polis yang berkhidmat selama 41 tahun, manakala isteri Muhammad Safri juga anggota polis dan pasangan itu mempunyai seorang anak berusia tiga bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 setiap seorang berserta syarat melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan 23 Mei depan ditetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – SM

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button