BeritaPendidikan

Dua Akademia UPSI Azam Kembang Pendidikan Awal Kanak-kanak di Slovakia

Kejayaan dua orang pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditawarkan mengikuti Program Sangkutan di Trnava University in Trnava, Slovakia memberi peluang kepada mereka meningkatkan profesionalisme pendidikan terutamanya pendidikan awal kanak-kanak.

Dua akademia UPSI, Prof. Madya Dr. Nordin Mamat dan Prof Madya Dr. Abdul Halim Masnan akan mengikuti program itu selama tiga minggu bermula pada 12 Mac 2022.

“Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pembiayaan Erasmus+ iaitu program utama negara-negara Eropah untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan pendidikan, profesional dan pengurusan dalam pendidikan, latihan, belia dan sukan,” kata Dr Abdul Halim.

Katanya, program itu akan membuka peluang kepada pelbagai jenis program mobiliti membabitkan pelajar, akademik, pentadbir, pembangunan serta Kerjasama Dasar Sokongan yang membabitkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan.

Menurut Dr. Abdul Halim, dalam usaha menjadikan UPSI sebagai Universiti Nombor Satu Pendidikan bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, kerjasama dengan Trnava University in Trnava (TUT) di Slovakia diharapkan dapat membuka jalan dalam meluaskan bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di bumi Eropah.
TUT yang ditubuhkan pada tahun 1635, adalah universiti tertua di Slovakia yang berpangkalan di Trnava, di barat Slovakia malah berada dalam ranking dua puluh universiti Slovakia dan Czech dan menduduki tempat kelima sebagai universiti Slovakia tertinggi.

Jelas Dr. Abdul Halim lagi, berdasarkan reputasi hebat universiti tertua itu, diharapkan dapat memberi peluang kepada kedua-dua universiti untuk mengadakan pengajaran dan bengkel berkaitan budaya dan tradisi masyarakat di Malaysia, di samping, mengadakan MOU berkaitan kepakaran geran penyelidikan dan perundingan.

Dr Nordin Mamat

Semenara itu Prof Madya Dr Nordin Mamat berkata pusat inkubator di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak akan menjadi pusat penyelidikan, pembangunan pengajaran dan pengeluaran produk kanak-kanak dengan melibatkan kerjasama antarabangsa dengan Jabatan Pendidikan, Trnava Universiti of Trnava.
Sementara Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata dalam usaha menjadikan UPSI sebagai peneraju Universiti Nombor Satu Pendidikan di Malaysia, kerjasama strategik sebegitu diharapkan dapat digembleng terutama dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di bumi Eropah.
“Nama UPSI semakin dikenali apabila beberapa kali kita mencapai kejayaan dalam The Higher World Ranking sepanjang tahun lalu ia menjadi platform untuk membina kolaborasi dengan universiti ternama dunia,” katanya.

(Visited 454 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button