fbpx
Nasional

Dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didakwa sokong LTTE

MELAKA, 29 Okt — Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, pada November tahun lepas. 

Tertuduh, G. Saminathan, 34; P. Gunasekaran, 60, dan S. Chandru, 38 didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. 

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S9+ warna biru gelap di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di sini pada 10.25 pagi, 10 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan. 

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk tanda faham sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 16 Dis untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias, manakala tiga tertuduh itu diwakili lima peguam yang diketuai oleh Ramkarpal Singh.

Terdahulu, petugas media dihalang masuk ke dalam mahkamah berikutan hanya ahli keluarga dan orang kenamaan sahaja dibenarkan masuk untuk mendengar prosiding itu. 

Muhamad Iskandar ketika ditemui pemberita berkata jaminan tidak dibenarkan di bawah seksyen berkenaan berikutan kesemua tertuduh didakwa di bawah bab 6a Kanun Keseksaan kerana Mahkamah Sesyen tiada bidang kuasa untuk membuat keputusan melibatkan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kenderaan membawa tiga tertuduh itu keluar dari Kompleks Mahkamah Melaka pada 10.45 pagi ini.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button