NasionalNegeri

Dron tak bantu halang gangguan bekalan air

PEMBELIAN dron oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menangani isu pencemaran sungai yang menyebabkan gangguan bekalan air dilihat tidak berkesan.

Dron dengan peruntukan RM2 juta itu tidak menghalang gangguan bekalan air seperti makluman gangguan oleh Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.

Dilaporkan empat loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pengesanan pencemaran sumber air mentah pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

Pengesanan pencemaran dan henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan tujuh wilayah dengan sejumlah 1,139,008 juta isi rumah.

“Sehingga jam 2:30 petang ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada tahap 8 TON dan LRA SSP 1, 2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

“Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Bekalan air akan ditutup pada jam 6.00 petang. Senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan ini.”

Demikian kata Air Selangor dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan usaha mengatasi pencemaran itu sedang dijalankan.

Ia melibatkan proses ‘flushing’ bahan pencemaran dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi sebanyak 300 juta liter dan 500 juta liter sehari.

“Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama,” jelasnya.

Air Selangor dalam kenyataan sama turut maklum mengenai situasi pandemik Koronavirus (Covid-19) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan PKPB dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” ujarnya. – SM

(Visited 326 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button