
Drama Tular TikTok Kembali: “Di Sebalik Permata” Musim Kedua Kini Lebih Berani
SELEPAS mencipta fenomena luar biasa dengan lebih 70 juta tontonan, drama rantaian TikTok popular Di Sebalik Permata kini kembali dengan musim kedua yang lebih mendebarkan dan sarat kejutan.
Bermula 6 Jun 2025, peminat setia bakal disajikan dengan kisah penuh konflik, manipulasi dan cinta toksik yang dijangka menggegarkan semula platform TikTok, sekaligus menghidupkan watak ikonik Natasya dan Rayhan dalam dimensi yang lebih gelap dan emosional.
Musim terbaharu ini menampilkan barisan pelakon asal seperti Putri Damia, Mizy Razuan, Umar Mukhtar dan Jeremy Bong, di bawah sentuhan kreatif pengarah Faiz Munir. Drama ini akan ditayangkan secara eksklusif di akaun rasmi @tiktokdramamalaysia, dengan tiga episod baharu disiarkan setiap hari.
Pengarahnya, Faiz Munir berkata, musim kedua tampil lebih berani dengan penceritaan yang sarat kejutan dan emosi mendalam.
“Selepas sambutan luar biasa terhadap musim pertama, ramai peminat bertanya bila sambungannya akan keluar. Kami percaya ini masa yang tepat untuk menghidupkan semula kisah Natasya dan Rayhan, tetapi kali ini dengan konflik yang lebih berat dan emosional,” jelasnya.
Tambah Faiz lagi, setiap episod disusun dengan strategi “cliffhanger” yang mampu membuat penonton tidak sabar menanti episod berikutnya.
“Kami bawakan elemen-elemen lebih gelap seperti cinta toksik, manipulasi, hilang ingatan serta kemunculan watak-watak baharu yang misteri. Musim ini kami janjikan lebih banyak ‘plot twist’ — jadi bersedialah.”
Penerbit drama ini dari syarikat Mantayay Sdn Bhd juga menyatakan harapan tinggi terhadap sambutan musim baharu ini, khususnya daripada komuniti TikTok yang aktif memberi reaksi dan berkongsi kandungan drama sebelum ini.
“Di Sebalik Permata 2 ialah penghargaan kami buat penonton yang setia sejak episod pertama. Kami tahu betapa kuatnya pengaruh watak Natasya dan Rayhan. Kali ini kami tampilkan naratif yang lebih berani, lebih emosional, dan penuh kejutan,” kata wakil penerbit.
“Harapan kami, setiap episod bukan sahaja ditonton, tapi turut dikongsikan semula di TikTok, sebagaimana musim pertama yang mencetuskan perbualan hangat di media sosial.”
Drama ini mula mencipta nama pada Januari 2024 apabila muncul sebagai drama berbahasa Melayu pertama yang diterbitkan secara eksklusif di TikTok Malaysia. Naratifnya yang segar, penuh konflik dan elemen kontroversi menjadikannya antara kandungan paling tular ketika itu.
Sinopsis Di Sebalik Permata Musim Kedua
Natasya (Putri Damia) yang kini hilang ingatan telah diculik oleh bekas kekasih obsesifnya, Akmal (Mizy Razuan), yang memanipulasi dirinya untuk mempercayai bahawa mereka masih bersama.
Sementara itu, Rayhan (Umar Mukhtar), suaminya yang sah, berjuang untuk memenangi kembali kepercayaan Natasya, membongkar kebenaran dan menyelamatkan isterinya daripada cengkaman dusta.
Di tengah-tengah kekeliruan dan tekanan emosi, Natasya turut bertemu dengan lelaki baharu yang mula membuka ruang dalam hidupnya. Dengan siapakah akhirnya Natasya memilih untuk bersama?
Musim kedua ini mengupas persoalan tentang identiti, dendam dan kepercayaan — sekaligus mencabar segala yang diketahui penonton daripada musim pertama. Setiap babak penuh emosi dan kejutan bakal menggamit reaksi penonton serta mencetuskan pelbagai teori dan perbincangan dalam kalangan peminat.
Maklumat Tayangan
-
Tarikh Tayangan: 6 Jun 2025
-
Kekerapan: 3 episod baharu setiap hari
-
Platform Rasmi: TikTok – @tiktokdramamalaysia
Dengan kekuatan naratif yang segar, karakter yang berkembang, serta strategi tayangan yang konsisten, Di Sebalik Permata 2 bersedia menjadi antara naskhah digital paling berpengaruh tahun ini di TikTok Malaysia.