Politik

Hadi gagal satukan Islam di Malaysia, bagaimana mahu satukan umat Islam global?

AHLI Dewan Undangan Negeri DAP P. Ramasamy memandang sinis impian Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Abdul Hadi terlalu bercita-cita tinggi kerana beliau sendiri gagal untuk menyelesaikan perpaduan umat Islam di negara Malaysia.

“Adakah ini satu jenaka atau sesuatu yang benar bahawa Abdul Hadi mahu menyatukan umat Islam global? Hadi Awang ingin menyatukan umat Islam global untuk menyelesaikan masalah Kashmir, Palestin dan Rohingya antara lain.

“Tetapi sayangnya, Hadi yang terlalu bercita-cita tinggi tidak dapat menyelesaikan perpaduan umat Islam di negaranya sendiri dan dia juga tidak menjelaskan kepada umum apakah partinya, PAS, telah menerima lebih dari RM90 juta dari dana 1MDB.,” kata Ramasamy.

Ahli Parlimen Marang itu yang dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah pada 2 April lalu berkata berkata, akan menggunakan hubungan baiknya dengan organisasi dan pemimpin antarabangsa bagi menyuarakan isu dihadapi umat Islam khususnya di Pelestin, Rohingya serta Kashmir.

Menurut Abdul Hadi, beliau bersama rakan-rakan yang lain akan berusaha untuk mencari titik pertemuan bagi menyeru pemimpin dan umat Islam di seluruh dunia untuk bersatu.

“Walaupun tugas berat dan besar saya anggap ini satu tugas yang wajib dan dengan dibantu rakan-rakan yang lain kita akan berusaha satukan umat Islam yang berpecah sehingga diratah oleh musuh-musuh.

“Keseluruhan umat Islam masih ada kecintaan pada umat Islam, titik pertemuan kepada kecintaan kepada Islam mesti digunakan untuk menyatukan umat Islam.

“Insya-Allah saya akan manfaatkann hubungan saya dengan organisasi antarabangsa dan pemimpin antarabangsa, bukan saja isu Palestin, isu Rohingya dan Khasmir akan kita usahakan,” katanya dalam program bual bicara yang disiarkan di TV Alhijrah pagi ini.

 

Menurut Ramasamy, masalah yang dihadapi oleh orang-orang Kashmir, Palestin atau Rohingya jauh lebih kompleks daripada apa yang difikirkan oleh Abdul Hadi.

Ramasamy berkata, isu umat Islam di Kashmir, Palestin atau Rohingya bukan masalah langsung antara orang Islam dan bukan Islam seperti yang mahu dipercayai oleh Presiden Pas itu.

“Sekiranya kuasa besar tidak dapat memberikan penyelesaian kepada komuniti ini, saya benar-benar tertanya-tanya bagaimana Hadi akan melakukannya.

“Anehnya, Hadi bahkan tidak boleh membawa umat Islam di Malaysia di bawah satu bumbung politik, bagaimana dia akan menyatukan umat Islam global?

“Sebelum Hadi dapat melakukan sesuatu yang berguna sebagai duta khas, dia mesti menjelaskan kepada Malaysia mengapa dia menyokong beberapa pemimpin UMNO yang korup untuk menjatuhkan kerajaan PH,” kata Ramasamy.-SM

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button