Hiburan

Dr. Soo Wincci, Ratu Cantik & Miss World Malaysia Pertama Bergelar Professor Madya

Sebut saja nama Dr Soo Wincci, pasti ramai tahu pelakon dan penyanyi itu sememangnya layak digelar beauty with brain.

Mana tidaknya, Wincci mencipta sejarah apabila menjadi Miss World Malaysia pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik dan kini mengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Malah, pelantikannya melayakkannya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) pada 1 April lalu.

“Tarikh itu secara rasminya saya dilantik sebagai Profesor Madya. Bermula ratu cantik, terbang ke sana sini demi menuntut ilmu dan menimba pengalaman.

“Akhirnya, langkah saya ke alam profesor pula. Saya kini menjadi pensyarah mengajar penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dalam subjek produksi muzik dan perniagaan. Saya mengajar dalam 70 hingga 80 pelajar yang semuanya dalam golongan B40,” katanya.

Berkongsikan mengenai kerjayanya kini sebagai pensyarah, Wincci berkata jadual tugasannya tidak mengganggu komitmen lain.

“Saya hanya akan terbang ke Valencia, Sepanyol pada cuti semester atau selepas selesai peperiksaan. Saya akan mengajar untuk sesi virtual sekiranya berada di lokasi negara lain.

“Saya mengajar hampir setiap hari di UiTM, kecuali Sabtu dan Ahad. Jadi, bolehlah fokus minat sebagai artis dan kerja produksi,” katanya.

Dalam pada itu, baki pengajian doktor falsafah (PhD) kedua dalam bidang produksi artistik hanya berbaki satu sesi latihan industri.

“Saya sasarkan lapan PhD sebenarnya. Sekarang, baru dua. PhD ketiga saya berkemungkinan ambil jurusan undang-undang antarabangsa. Cuma, belum tahu universiti manakah nak teruskan,” katanya

Berkongsikan mengenai rutin berpuasa setiap tahun, Wincci meluahkan rasa syukur kerana dapat berpuasa selama sebulan di Malaysia.

“Ini tahun ke-11 saya berpuasa. Tiga tahun sebelum ini, saya berpuasa di Sepanyol. Dapat juga lepas rindu berbuka puasa dan bersahur di negara sendiri. Dan tentunya amalan berpuasa mengajar saya bukan setakat menahan lapar dahaga, tetapi bersabar,” katanya.

 

(Visited 627 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button