Politik

Lima calon wanita BN-PH mampu buat kejutan di Negeri Sembilan

Golongan wanita kini semakin diterima dalam arena politik negara dan mampu menarik minat pengundi untuk dipilih sebagai wakil rakyat.

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid berkata, perkara itu dapat dilihat sewaktu kempen hari pertama Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 apabila orang ramai
memberikan reaksi positif.

Bibi Sharliza yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berkata, calon wanita yang dikemukakan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kini dapat diterima oleh pengundi di setiap DUN.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita di Negeri Sembilan dijangka bertambah jika menang dalam PRN esok.

“Ini menunjukkan kehadiran golongan wanita sebagai ADUN semakin diterima oleh masyarakat sebagai pemimpin (politik).

“Kita lihat dalam kalangan setiap parti yang bertanding turut
mempertaruhkan pemimpin wanita.

“Bagi gabungan BN-PH kita menampilkan lima calon dalam PRN kali ini dan jika kesemua mereka menang ini adalah satu keputusan yang baik malah mereka ini mampu menjalankan tugas dengan baik,” ujarnya.

Calon-calon wanita yang ditampilkan PH-BN di Negeri Sembilan selain Bibi Sharliza ialah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan), Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim (Pilah) Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang) dan Norwani Ahmat (Paroi).

Manakala Perikatan Nasional menampilkan dua orang calon wanita iaitu di Amrina Mohd. Khalid (Senaling) dan Yong Li Yi (Repah).

Mengulas lanjut Bibi Sharliza berkata, jika lima calon BN-PH menang ini membuktikan penyertaan golongan wanita dalam bidang politik dan urus tadbir negara dapat ditingkatkan sebanyak 30 peratus.

Mengenai peluangnya untuk menang beliau berkata: “Saya serahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk membuat pilihan. Mereka kenal saya.”

Pada penggal yang lalu, hanya terdapat dua orang wakil rakyat wanita di DUN Negeri Sembilan iaitu Nicole Tan dan Mary Josephine Pritam Singh di Rahang. – SM

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button