KesihatanNasional

Dr. Noor Hisham tolak saranan tangguh suntikan dos kedua Pfizer

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menolak saranan supaya semua rakyat Malaysia diberikan suntikan pertama vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech sebelum suntikan kedua dibuat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdull berkata, tahap keberkesanan vaksin  Comirnaty dilaporkan sebagai 94.6% (N= 36,621) dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala, berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa antara 21 hari hingga 42 hari.

Walau bagaimanapun Dr. Noor Hisham menegaskan, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21 hingga 28 hari dari dos pertama.

“Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin Comirnaty telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89% keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

“Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua. Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum,” katanya.

Semalam dalam sidang akhbar Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan menangguhkan pemberian dos kedua vaksin Comirnaty keluaran Pfizer kepada penerima dos pertama.

Anwar berkata, kerajaan perlu memberikan dos pertama kepada semua rakyat Malaysia terlebih dahulu dan selepas itu baharu dos kedua diberikan kepada mereka.

“Sekarang ini (ahli) Parlimen ambil, barisan hadapan ambil apakah tidak boleh tunggu yang dos kedua itu. Tunggu dan berikan kepada rakyat dulu. Dos kedua itu barulah kita kembali kepada giliran mereka.

“Sekarang ini tiga minggu bagi dos kedua. Tak payaklah bagi dos kedua kerana effikasi (keberkesanan) 75 peratus cukuplah. Yang rakyat lain nak tunggu sampai enam bulan, satu tahun.

“Kita teruskan dos pertama untuk semua rakyat kemudian barulah sambung dengan dos kedua. Fikir agak terbuka sedikitlah. Jangan kongkong dengan cara pemikiran lapuk yang lama. Ya,” kata Anwar dalam sidang mediannya semalam.

Anwar berkata, berdasarkan beberapa penyelidikan yang beliau lakukan cadangannya itu tidak akan mengugat keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Kalau tidak sekarang ini untuk nelayan Port Dickson dan petani Manik Urai saya ingat tahun 2022 pun belum sampai kepada mereka. Apatah lagi di Kapit.

“Jadi oleh yang demikian saya cadangkan kerajaan teliti segera cadangan ini supaya kita tumpu kepada dos pertama dan tangguhkan dulu dos kedua dan jadikan dos pertama itu untuk semua rakyat sebelum kembali kepada dos kedua.

“Saya juga buat beberapa penyelidikan apakah ini menggugat keselamatan dan kesihatan. Tidak. Malah lebih baik kerana lebih lebih ramai rakyat yang akan dapat faedah,” kata Anwar.-SM

(Visited 556 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button