fbpx
Nasional

Dr. Noor Hisham beri amaran ‘R naught’ meningkat, risiko lebih banyak jangkitan

Kementerian Kesihatan Malaysia memberi amaran nilai Rt atau R naught (Ro) telah meningkat kepada 1.72 di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Rt yang dicatat pada dua minggu lepas hanya 0.72.

Dr. Noor Hisham berkata, peningkatan ketara tersebut memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi di dalam komuniti.

“Berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh KKM, terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat di dalam Malaysia.

“Masyarakat kemungkinan kian alpa dan tidak mengendahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.


“Nasihat-nasihat yang telah diberikan mulai diambil ringan, dan ini termasuklah juga oleh petugas barisan hadapan di kalangan petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau turut menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan juga semua lapisan masyarakat untuk mengambil serius situasi COVID-19 di dalam negara.

Tegas beliau, petugas barisan hadapan mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti oleh penyakit Covid-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan sama ada fasiliti kerajaan mahupun swasta.

Menurutnya, ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 antaranya termasuk seorang anggota kesihatan daripada Kluster Sungai yang didapati telah menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya.

“Justeru, pematuhan seratus peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan juga semasa tidak bertugas adalah amat penting.

“Mengambil iktibar daripada kejadian ini, KKM menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan juga semua lapisan masyarakat untuk mengambil serius situasi COVID-19 di dalam negara. Ambillah langkah berjaga-jaga untuk menjaga diri kita dan keluarga kita pada setiap masa,” kata Dr. Noor Hisham.-SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button