Politik

Dr. Mohd. Yadzil dilantik Ketua Bersatu Melaka, Mas Ermieyati timbalan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersayu) Negeri Melaka yang baharu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelantikan Dr. Mohd. Yadzil adalah bagi menggantikan Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen yang telah meletakkan jawatan tersebut pada 26 November lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin diumumkan sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka yang baharu. Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Dr. Mohd. Yadzil.

“Pelantikan YB Dr Mohd Yadzil dan YB Datuk Wira Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka serta penyusunan semula Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka diyakini dapat memperkuatkan struktur parti Bersatu dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan parti kepada rakyat negeri Melaka khususnya,” katanya.

Dr Mohd Yadzil yang telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November yang lalu adalah Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Melaka.

Beliau berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia dan pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin.

Sementara Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Srikandi BERSATU serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.-SM

(Visited 564 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button