fbpx
Nasional

Dr. Maza karang khutbah solat Aidilfitri untuk bapa-bapa

MUFTI Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau mengarang teks khutbah solat Aidilfitri bagi memudahkan bapa melaksanakan solat berkenaan di rumah.

Beliau berkata, walaupun khutbah berkenaan adalah sunat, tetapi jika bapa yang menjadi imam dan melaksanakan solat Aidilfitri di rumah bersama keluarga mereka boleh membaca khutbah mengikut teks yang disediakan.

“Teks yang disediakan mudah dan ringkas supaya ia mudah dibaca, termasuk memuatkan potongan ayat suci Al-Quran yang mudah dibaca,” kata beliau dalam temubual dengan Astro Awani.

Selain itu, beliau berkata, Perlis menggalakkan masjid-masjid untuk melaungkan takbir raya.

Mengenai kebenaran menunaikan solat Jumaat di negeri berkenaan, katanya, keputusan itu dibuat selepas beliau bermesyuarat dengan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa majlis fatwa secara dalam talian.


Bagaimanapun, jelas beliau, solat Jumaat perlu dilaksanakan di bawah pengawasan SOP yang ketat.

Mohd Asri juga gembira apabila dimaklumkan ramai yang telah belajar menjadi imam di rumah dan pada masa yang sama mengajar anak-anak untuk memikul tugas itu.

“Ramai yang terkejut dengan kemampuan anak-anak menjadi imam yang sebelum ini tidak diberi peluang menjadi imam di sekolah dan sebagainya,” katanya.

Tambah Mohd Asri, umat Islam juga telah banyak mempelajari tentang ajaran Islam mazhab lain bagi membolehkan Islam terus dapat dilaksanakan dalam keadaan yang sempit dan Islam itu akan menjadi luas dalam situasi sempit.

Menurut beliau, umat Islam di negara ini sangat selesa dalam beragama sejak sekian lama berbanding di negara lain seperti Palestin dan negara di mana Islam adalah minoriti.

Beliau juga mengetengahkan sesuatu yang baik sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19  ini menyebabkan kurangnya orang bercakap mengenai perkara buruk sebaliknya lebih kepada usaha untuk menangani penyakit tersebut.

Masyarakat kini, katanya, sangat menyanjungi barisan hadapan terutama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berbanding sebelum ini ramai yang lebih mengidolakan artis.

Rakyat juga, katanya, tidak gemar dengan pemimpin politik yang terlalu totok berpolitik, hingga tidak sensitif terhadap situasi semasa yang dihadapi negara.

Oleh itu, kata beliau, perkara baik yang menjadi norma baharu itu harus diteruskan bagi memastikan semua pihak melampaui batas agama dan bangsa bersatu melawan musuh negara iaitu wabak Covid-19. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button