Nasional

Dr. Masliza wanita Malaysia pertama sandang jawatan Prof. Madya Universiti Oxford

DOKTOR Masliza Mahmod melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini mengucapkan tahniah kepada Dr. Masliza atas kenaikan pangkat itu serta mengakui kebijaksanaan dan pencapaian hebat beliau sebagai pakar kardiologi.

Dr.Masliza, ujar Dr. Noor Hisham, sememangnya seorang pakar kardiologi yang bijak.

Meskipun berdepan pelbagai kesulitan serta cabaran, ketabahan dan minat mendalamnya dalam penyelidikan klinikal menjadikan beliau seorang pakar kardiologi akademik yang ulung.

“Tiada apa yang boleh menghalang beliau untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Kita amat berbangga dengan pencapaian beliau… ,” kata Dr. Noor Hisham dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr. Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Doktor berusia 47 tahun itu berasal dari Batu Pahat, Johor kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu juga memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand. – BERNAMA SM

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button