Politik

Ismail Sabri Buktikan Prestasi Cemerlang, PBRS Sokong Keputusan MKT UMNO

keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah sebulat suara bersetuju mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disambut baik Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Menurut Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, Ismail Sabri telah membuktikan prestasi yang cemerlang dalam urusan pentadbiran negara dengan memberikan penekanan terhadap kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Dalam masa sama, Joseph berpendapat antara usaha yang berjaya dilaksanakan adalah menyatupadu semua pihak termasuk Ahli Parlimen Pembangkang dan memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia serta usaha untuk melakukan transformasi dasar seperti memastikan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dapat direalisasi sebelum PRU ke-15.

“PBRS sebagai parti komponen tunggal Barisan Nasional (BN) di Sabah percaya hala tuju yang dibawa pimpinan Kerajaan pada masa kini berada di landasan yang tepat.

“Komitmen yang telah diberikan Kerajaan khusus untuk Sabah seperti kejayaan mendapat sokongan 2/3 untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung Malaysia dan juga menaikkan pemberian khas kepada kerajaan negeri di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak 4.7 kali ganda (RM126 juta),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bukan itu sahaja, Joseph juga menghargai langkah Ismail Sabri memberi lebih perhatian kepada pembangunan di Sabah selaras dengan konsep keterangkuman dalam aspirasi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited untuk menyiapkan baki 19 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam tempoh 5 tahun,” ujarnya.

Kata beliau lagi, keputusan yang dipersetujui MKT UMNO mencerminkan kematangan UMNO dan BN yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama dalam urusan pentadbiran negara.

“Ini memudahkan tugasan pimpinan parti untuk merencanakan halatuju negara demi kestabilan dan kesinambungan dasar negara agar kesejahteraan dan keharmonian rakyat terus terbela di bawah BN.

“BN berada dalam landasan tepat dan sudah pasti parti-parti komponen akan bekerja sebagai satu pasukan menuju PRU-15 demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata beliau.

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button