fbpx
Nasional

Dr Mahathir tekankan keperluan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

“Sangat penting untuk kita memberi masa kepada bahasa Inggeris, khususnya dalam pembelajaran Sains dan Matematik. Geografi dan Sejarah boleh datang dalam mana-mana bahasa tetapi Sains dan Matematik bukan bidang ilmu peribumi (bagi rakyat Malaysia).

“Ia datangnya dari luar negara. Kebanyakannya datang kepada kita dalam bahasa Inggeris, oleh itu kita perlu menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, “katanya semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam.

Klip video mengenai kenyataan beliau dimuat naik dalam Facebook.

Dr Mahathir juga berkata beliau mendapati mereka yang belajar Sains dalam bahasa Melayu kemudiannya sukar untuk bekerja di mana bahasa Inggeris diperlukan.

Perdana Menteri juga mengakui bahawa negara dan rakyat ingin melihat pembaharuan dalam dasar pendidikan negara.

“Saya dari dulu pun mempunyai idea berkenaan peranan pendidikan dalam pembangunan negara kita … Saya perhatikan kelemahan tertentu yang perlu dihadapi. Jadi, saya ingin mencatatkan pandangan saya mengenai pendidikan supaya kita boleh bekerjasama untuk mencapainya.

“Sudah tentu, pandangan saya tidak selalu popular atau tidak selalu diterima oleh ramai orang, tetapi saya merasakan saya perlu mendorong perkara-perkara tertentu untuk memastikan anak-anak kita membesar dan mendapati diri mereka dapat mengatasi masalah kehidupan dewasa. Itulah tujuan pendidikan, “kata Dr Mahathir.

Beliau berkata bahawa masalah tertentu timbul daripada hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, tetapi ini juga sesuatu yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Malahan, banyak soal pembangunan negara ini didasarkan pada hubungan kerja yang baik antara kaum yang berlainan. Jika negara ini tidak stabil, jika kita berperang, anda boleh melupakan pembangunan, “katanya.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button