Politik

Dr. Mahathir ‘dibuli’ hingga menangis

TUDUHAN pengkhianatan dalam Pakatan Harapan (PH) hingga mereka hilang kuasa terus diperkatakan dan yang terbaharu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan telah dibuli hingga menangis.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mendedahkan perkara itu berlaku dalam mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pagi Ahad, 23 Februari.

Katanya, pada tarikh itu Bersatu telah mengadakan mesyurata Majlis Pimpinan Tertingginya di mana Dr. Mahathir telah ditekan supaya bersetuju supaya parti itu keluar daripada PH.

Menurut Khalid, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhris Mahathir memberitahu, Dr. Mahathir seakan-akan dibuli oleh mereka yang menekannya hingga membuatkan orang tua itu menangis.

Katanya, kerana tindakan dibuli itu, mereka juga diberitahu bahawa Tun memohon agar beliau tidak dipaksa untuk memungkiri janji-janji dan melanggar prinsipnya tetapi permintaan tersebut tidak diendahkan.

“Tun memohon lagi dengan mengatakan bahawa mesyuarat hari Jumaat lepas telah bersetuju bahawa beliau boleh terus pegang jawatan selagi beliau mahu, maka sepatutnya tidak ada alasan untuk Bersatu keluar.

“Tun menyatakan lagi pada masa yang sama bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan kabinet sekarang. Yang mengecewakan Tun, setiausaha politiknya sendiri tidak bersependapat dan telah berhujah demi meyakinkan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk mengundi meninggalkan PH.

“Tun pernah menyebut fakta ini dan bagaimana beliau sangat terkejut anggota Majlis Pimpinan Tertinggi lebih menyakini hujah-hujah setiausaha politiknya daripada hujahnya,” kata Khalid dalam tulisannya yang disiarkan oleh Malaysiakini pada 6 April bertajuk Tun dan PH: Sahabat atau Musuh.

Sementara pendirian Datuk Seri Mohd Azmin Ali dalam isu itu, kata Khalid, dapat dirumuskan dari peranan yang dimainkannya untuk membawa pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas untuk pergi ke Istana dan Hotel Sheraton.

“Maka menjadi terang lagi bersuluh bahawa dalam isu untuk kekal bersama PH, Tun sebenarnya bersendirian atau hanya mendapat sokongan yang minoriti.

“Maka bermula pengakhiran PH. Apabila Tun meninggalkan mesyuarat yang berlangsung selama lima jam itu, beliau pulang ke rumah dan tidak menghadiri program di istana; yang menyaksikan kehadiran enam presiden parti, termasuk dari Sabah dan Sarawak,” tulis Khalid.

Katanya, walaupun Tun juga tidak hadir ke Sheraton bersama ‘persidangan pencuri’, tetapi hakikatnya beliau telah pun tersentak dengan apa yang telah berlaku.

“Ketiadaan Tun dalam program-program yang dirancang lebih awal ini, dan persidangan akhbar yang diatur selepasnya, pada pendapat saya, jelas menunjukkan bahawa Tun bukan sebahagian daripada perancangan ini.

“Program-program ini sebenarnya telah gagal, kerana Tun tidak hadir, tetapi semua perancangan dan konspirasi ini telah memberi kesan yang besar kepada Tun sendiri.

“Untuk kita memahami kesannya terhadap Tun, kita mesti terlebih dahulu faham bagaimana beliau melihat kedudukan dirinya dalam PH. Walaupun beliau adalah pengerusi PH, sebenarnya beliau beranggapan beliau tidak mempunyai sokongan sebenar, kecuali daripada Bersatu dan Azmin serta sekutunya.

“Sejarah telah tertulis bahawa PH telah dibentuk oleh penyokong-penyokong Anwar, dan waktu itu Azmin antara pihak yang membantahnya. Tun menyertai PH kemudian dan Azmin pula, sebenarnya, menyusul selepas itu,” katanya.

(Visited 661 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button