Nasional

Rizal Mansor diletak di bawah program perlindungan saksi

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor diletakkan di bawah program perlindungan saksi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib apabila Rizal dipanggil untuk  dicam oleh saksi pendakwaan kesembilan, ahli perniagaan Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin, yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri itu.

Rizal dilihat muncul melalui pintu untuk kakitangan mahkamah yang terletak di hadapan bilik perbicaraan dan bukannya pintu biasa digunakan saksi, yang mengejutkan peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh.

Jagjit Singh membangkitkan perkara itu kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan dengan berkata ia tidak memberi imej yang baik kepada mahkamah.

Mohamed Zaini bersetuju dan berkata “persepsi tidak elok.”

Ahmad Akram kemudian menjelaskan kepada mahkamah bahawa Rizal diletak di bawah program perlindungan saksi dan diiringi pegawai polis, yang mungkin menjelaskan mengapa dia memasuki pintu yang berbeza.

“Apa yang diatur mereka, saya tidak tahu kerana dia (Rizal) tidak berada di sini tadi, tetapi kami akan pastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Pada 8 Jan, mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan bagi pihak Rosmah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui Rizal, sebagai pertukaran bagi membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tiga lokasi iaitu Lygon Cafe di Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini dan Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Precinct 10, Putrajaya antara Januari 2016 dengan 7 Sept 2017.

Perbicaraan disambung esok.- BERNAMA

(Visited 528 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button