Nasional

Undang-undang kewarganegaraan India: Dr. M tidak ada alasan seret orang Cina, India

KUALA LUMPUR –  Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak harus menyeret orang India dan Cina di Malaysia dalam isu undang-undang kewarganegaraan India.

Menurut Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP P. Ramasamy, Dr. Mahathir mungkin tidak benar-benar memahami tujuan pindaan baru kepada undang-undang kewarganegaraan di India.

“Saya fikir beliau berlebihan dengan mengatakan bahawa India tidak harus menafikan umat Islam daripada kewarganegaraan mereka.

“Beliau juga mengatakan bahawa jika kerajaan merampas kewarganegaraan Cina dan India di Malaysia, akan ada akibat yang tidak dapat dibayangkan untuk negara ini.

“Sebenarnya, tidak ada alasan baginya untuk menyeret orang Cina dan India untuk membandingkan mereka dengan orang Islam di India,” kata Ramasamy dalam satu hantaran yang panjang di Facebook beliau hari ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, pindaan baru undang-undang kewarganegaraan India bukanlah mengenai menghalang umat Islam dari kewarganegaraan mereka. Malah, undang-undang baru itu tidak ada hubungannya dengan umat Islam di India.

Pindaan tersebut adalah mengenai kewarganegaraan yang diberi secara pantas untuk minoriti bukan Islam seperti Hindu, Buddha, Sikh dan Parsis, yang telah ditindas dan diskriminasi di Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan, negara-negara yang mengisytiharkan diri mereka sebagai negara Islam.

“Mahathir mungkin sibuk dan mungkin tidak mempunyai masa untuk memahami mengapakah undang-undang baru diperkenalkan pada asalnya.

“Itu boleh menjelaskan mengapakah dia bertindak balas tanpa memahami dengan jelas fakta-fakta tersebut,” kata Ramasamy.

Semalam, Dr. Mahathir mempersoalkan undang-undang baru kewarganegaraan India dan mendakwa kerajaan negara itu telah menafikan kewarganegaraan kepada orang Islam.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia telah lama memberi kewarganegaraan kepada orang-orang India dan Cina dan jika undang-undang yang sama dilaksanakan di negara ini akan berlaku kekacauan.

“Kita telah terima orang India yang datang ke negara ini, orang Cina yang datang ke negara ini. Kita beri mereka kewarganegaraan walaupun mereka tidak layak. Dan mereka ada dalam kerajaan.

“Saya kecewa melihat India yang mengaku sebagai negara sekular, kini mengambil tindakan menafikan kewarganegaraan sesetengah orang Islam yang merupakan warganegara mereka.

“Sudah tentu kalau kita buat begitu di sini anda tahu apa yang akan berlaku. Akan berlaku huru-hara, ketidak-stabilan. Dan semua akan merana. Ada yang sudah mati kerana undang-undang ini.

“Jadi kenapa perlu undang-undang ini apabila selama ini, selama 70 tahun mereka telah hidup bersama sebagai warganegara tanpa sebarang masalah ” kata Dr. Mahathir ketika ditemui pemberita di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Media antarabangsa melaporkan ketika ini negara India mengalami pergolakan apabila rakyatnya membantah undang-undang kewarganegaraan baru.

Kenderaan dan kemudahan awam dirosak  malah rusuhan yang bermula sejak 12 Disember itu turut meragut nyawa.

Kerajaan pimpinan perdana menteri Narendra Modi berkata, undang-undang baru itu akan menyelamatkan golongan minoriti agama seperti Hindu dan Kristian daripada penindasan di negara jiran Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan, dengan meawarkan laluan kewarganegaraan India kepada mereka.

Tetapi pengkritik dan mereka yang memprotes berkata, undang-undang itu tidak memberi peruntukan serupa kepada orang Islam yang mengalami nasib yang sama dengan orang bukan Islam di negara terbabit.-SM

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button