Nasional

Sertai Selangor Xtiv Virtual 2021 sepanjang PKP menangi RM411,680

Orang ramai khususnya rakyat Selangor boleh mengisi masa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyertai pertandingan Selangor Xtiv Virtual 2021 secara maya.

Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan
bukan sahaja dapat mengisi masa lapang para peserta malah membuka peluang untuk memenangi sebahagian hadiah keseluruhan RM411,680 yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor Mohd. Khairuddin Othman berkata, petandingan secara maya itu menerima 94,966 penyertaan sejak Mac lalu.

Kesemua program mencapai sasaran termasuk dua program baharu iaitu Selangor Xtiv Virtual Marathon dan Selangor Xtiv Virtual Chess.

Program Selangor Xtiv Virtual Esports paling mendapat sambutan dengan 90,528 penyertaan.

Disusuli Selangor Xtiv Virtual Marathon yang menerima 3,009 penyertaan dan Selangor Xtiv Virtual Chess sebanyak 1,038 jumlah penyertaan.

Berdasarkan jumlah tersebut program berkenaan telah mencapai peningkatan lebih 20 peratus daripada yang ditetapkan berdasarkan pelaksanaan lima program.

Manakala dua lagi program akan bermula pada Jun 2021 iaitu Selangor Xtiv Virtual Jump Rope dan Selangor Xtiv Virtual Ride.

“Perkembangan positif ini menunjukkan Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 450,000 penyertaan pada tahun kedua penganjuran program Selangor Xtiv Virtual selepas kejayaan kali pertama pada tahun 2020,” kata Mohd. Khairuddin.

Katanya, Kerajaan Selangor menjangkakan pertambahan mendadak penyertaan pada bulan ini susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun untuk membendung wabak COVID-19 selain sesi cuti persekolahan selama dua minggu bermula 31 Mei.

Mohd. Khairuddin meminta orang ramai khususnya rakyat Selangor untuk mengisi masa lapang sepanjang tempoh sekatan pergerakan dengan menyertai aktiviti berfaedah termasuk program Selangor Xtiv Virtual 2021.

Tahun lepas, Selangor Xtiv Virtual yang berlangsung selama lapan bulan menerima 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di media sosial.

Program yang dianjurkan pada waktu itu adalah Selangor Xtiv Virtual Esport, Selangor Xtiv Virtual Run, Selangor Martial Art Xtiv Virtual dan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking.-SM

 

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button