BeritaNasional

Dong Zong perlu ingat budi rakyat Malaysia – Rais

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu mengingati ‘budi’ rakyat Malaysia dengan menjauhi isu-isu sensitiviti kaum di negara ini.

Sehubungan itu menurut Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, adalah lebih baik pihak tersebut menimbang semula keputusan untuk meneruskan persidangan bagi membantah pengenalan tulisan Jawi pada 28 Disember ini.

“Dong Zong perlu menimbang semula cadangan mereka untuk meneruskan perhimpunan (persidangan) anti-Jawi pada 28 Disember.

“Ambil kira tentang sejarah. Pertimbangkan warisan dan budaya kita. Anda tidak akan ada tanpa persetujuan semua untuk hidup bersama,” ciapnya dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Mengulas lanjut kata Rais, warga negara Malaysia yang baik bukan hanya perlu belajar tulisan Jawi malah bahasa Mandarin dan Tamil.

Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali sebagai Dong Jiao Zong dilapor akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia boleh menjadi
huru-hara sekiranya persatuan itu terus berdegil mahu menganjurkan perhimpunan tersebut.

Beliau berkata, Dong Zong akan berdepan dengan ‘reaksi’ orang Melayu jika meneruskan perhimpunan bantahan penulisan Jawi.

Tindakan Dong Zong itu juga, menurut Dr. Mahathir, hanya akan menyebabkan orang Melayu mengadakan kongres mereka pula dan bercakap mengenai penutupan sekolah Cina.

“Kita sebuah negara yang berbilang kaum, adalah penting bagi kita untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain,” kata Dr. Mahathir.

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button