Uncategorized

50,000 kampit benih padi lulus esok – Mat Sabu

Sebanyak 50,000 kampit Benih Padi Sah (BPS) akan diluluskan esok dengan 31,000 diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 19,000 lagi disalurkan ke Perlis dan luar jelapang negeri Kedah.
Memetik laporan BERNAMA (bernama.com) Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu antara langkah drastik jangka pendek dilaksanakan kementeriaan bagi memastikan bekalan BPS mencukupi dan harganya terkawal.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini telah meluluskan 532,325 kampit BPS bagi kegunaan di Kedah dan Perlis dengan rekod pengeluaran 89,723 kampit benih pada 18 Okt lepas, 151,200 kampit benih (26 Okt), 79,142 kampit benih (3 Nov) dan 112,260 kampit benih (10 Nov).
“Selain itu, kementerian turut memantau dan mengawal ketat proses kelulusan ladang dan makmal terhadap 12 pengeluar BPS berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan jabatan dan agensi sebelum BPS dijual kepada pesawah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai langkah segera KPKM bagi menangani isu penjualan benih padi sah yang begitu menekan pesawah serta menjejaskan hasil pengeluaran padi dan kadar sara diri (SSR) beras negara.
Menurutnya, keperluan BPS semasa ialah 72,000 tan metrik atau 3.6 juta kampit setahun dengan para pesawah menikmati insentif RM1.03 bagi setiap kilogram BPS dibeli daripada pengeluar yang dilantik kerajaan.
Pada masa sama, Mohamad berkata bagi langkah jangka panjang, kerajaan akan melaksanakan kajian bagi menangani harga belian padi dan benih padi untuk memastikan semua pihak termasuk peruncit dan pengguna berada dalam situasi menang-menang.
Bagi tujuan itu, beliau berkata KPKM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa terdekat bagi menentukan aspek penyelarasan harga.
(Visited 52 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button