Luar Negara

Doa untuk Saeb Erekat

Oleh RAZALI AWANG

PERUNDING damai Palestin, Saeb Erekat dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke salah sebuah hospital di Israel selepas dijangkiti coronavirus.

Beliau kini dilaporkan bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan diletakkan dalam keadaan tidak sedarkan kerana situasinya yang semakin teruk.

“Keadaan Erekat tenang semalam tetapi pagi tadi (Isnin) merosot dan sekarang berada dalam keadaan kritikal,” kata jurucakap Hospital Hadassah, Hadar Elboim.

Ketika dipindahkan pada Ahad lepas, tokoh kanan rundingan damai Palestin Israel itu dilaporkan masih sedarkan diri.

Beliau telah dipindahkan dari kediamannya di Tebing Barat untuk mendapat rawatan di Hadassah yang terletak dalam wilayah Israel.

Berdasarkan sumber terdekat seperti yang dilaporkan Middle East Eye, keputusan untuk menghantar tokoh berusia 65 tahun itu ke hospital dibuat kerana masalah kekurangan oksigen dan penentuan tempat rawatan telah diputuskan pasukan perubatan Israel.

Pada 8 Oktober lalu Penasihat Kanan kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) itu disahkan positif dan ia mencetuskan kebimbangan kerana Erekat sebelum ini mempunyai masalah kesihatan.

Pada 2017, beliau telah menjalani pemindahan paru-paru di Amerika Syarikat.

Reputasi Erekat begitu menonjol dalam usaha mencari penyelesaian konflik Palestin Israel dan sebelum ini pernah berkhidmat kepada dengan bekas pemimpin tertinggi Fatah, Allahyarham Yasser Arafat. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button