Nasional

Hanya 54 Ahli Parlimen jalani pemeriksaan kesihatan – Johari

DARIPADA 222 Ahli Parlimen hanya 54 sahaja yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan setakat 2 Oktober lalu kata Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Tan Sri Johari Abdul berkata, jumlah itu adalah terlalu kecil.
Justeru, beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan agar melaksanakannya dengan segera.
“Untuk makluman, tarikh akhir untuk pemeriksaan kesihatan ialah pada 31 Oktober ini. Yang Berhormat boleh menghubungi doktor kesihatan Parlimen Malaysia berkenaan maklumat terperinci mengenai pemeriksaan kesihatan ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian dalam pemasyuran Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum memulakan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Parlimen, di sini hari ini.
Johari berkata Ahli Parlimen juga boleh melakukan pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan namun rekod kesihatan itu mesti diserahkan kepada Pegawai Kesihatan Parlimen bagi tujuan dokumentasi.
“Saya telah maklumkan, Yang Berhormat boleh melakukan pemeriksaan (kesihatan) di sini (Parlimen) ataupun di mana-mana juga asalkan rekod itu dibawa ke sini… Sekiranya dah buat pemeriksaan di fasiliti kerajaan atau swasta, bawa rekod itu untuk disimpan di Parlimen supaya apa-apa terjadi saya dapat bertanggungjawab untuk selamatkan nyawa Yang Berhormat,” katanya.
September lepas, Johari dilapor berkata semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan susulan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibuat terhadap semua Ahli Parlimen demi memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik. – SM
(Visited 157 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button