Nasional

Dituduh menimbulkan banyak krisis antara punca Maszlee letak jawatan

DR. MASZLEE Malik melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan kerana beliau dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan.

Bercakap pada sidang akhbar ketika mengumumkan peletakan jawatan itu, Maszlee berkata, ia terutama yang melibatkan isu jawi, internet sekolah dan sarapan percuma.

“Sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau percaya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga Kementerian Pendidikan.

“Ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, ‘Pendidikan Untuk Semua’.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran. Sebaliknya sebuah permulaan yang baharu. Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama.

“Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YAB Tun Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM.

“Ini adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademik,” katanya.

Beliau turut menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada beliau dan parti  PPBM.

“Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang reda walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, berkuatkuasa 3 Januari 2020,” katanya. – SM

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button