
Disiplin asas kejayaan dan pembentukan sahsiah diri – Raja Muda Perlis
MATA AYER: Disiplin bukan sahaja menjadi asas kejayaan, malah turut membentuk pelbagai nilai positif seperti integriti, ketepatan masa, kerajinan, kepatuhan kepada arahan, rasa tanggungjawab, keberanian dalam tindakan, serta sikap bertawakal setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
Individu yang berjaya sentiasa memiliki disiplin diri yang tinggi serta keupayaan untuk mengawal diri dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Titian Kasih Mega 2025 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua sekolah berkenaan, Nor Haziani Mustaffa .
Program ini telah dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri yang melibatkan seramai 130 orang pelajar lelaki dan 114 orang pelajar perempuan yang terdiri dari tingkatan 1 hingga 3.
Pengetua dalam ucapannya menyatakan, SMK Mata Ayer telah mencatat banyak kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum sejak beberapa tahun lalu. Pendekatan strategik MASS STEAM (Mata Ayer Secondary School in Science, Technology, Engineering, Arts and Mathematics) untuk tempoh 2024–2028 menjadi pemangkin dalam melahirkan pelajar yang holistik, berilmu dan bersahsiah tinggi.
Pendekatan ini menekankan keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah melalui integrasi elemen STEAM dalam pembelajaran. Keberkesanan pendekatan ini dibuktikan dengan pencapaian cemerlang, termasuk keputusan SPM 2024 yang mencatatkan 95.45% lulus dengan GPS 5.76, hasil komitmen tinggi guru dan pelajar.
Menurut beliau, pencapaian atlet SMK Mata Ayer membanggakan apabila mereka meraih pingat emas peringkat kebangsaan dalam sukan tinju serta mewakili MSSPs dalam acara merentas desa dan olahraga. Selain itu, pasukan sekolah turut memenangi pingat emas dalam kategori inovasi di Karnival Sains Negara 2024 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, membuktikan potensi pelajar dalam bidang inovasi dan teknologi selari dengan aspirasi MASS STEM.
Beberapa pencapaian lain antaranya, Johan Pasukan Perempuan dalam Youth Ultimate Open Peringkat Kebangsaan 2024 menerusi Suwaibah Saffiya Mohd AMiza dan Nur Madihah Abdul Razak, Tempat Ketiga Pertandingan Mimbar Dai Lelaki, MPPADNI Peringat Negeri Perlis 2025 dan Tempat Kelima Pertandingan Khat MPPADNI Peringat Negeri Perlis 2025.
Sekolah ini turut menerima Anugerah Emas Yayasan Hasanah Popbl Showcase Peringat Negeri pada 2024, Johan Kem Dai Pena Muda Peringkat Negeri Perlis 2025 dan Anugerah Platinum Video Iklan Raya Peringkat Negeri Perlis 2025.
“Pihak sekolah melaksanakan program jaringan strategik berimpak tinggi bersama pelbagai agensi seperti MRSM Beseri, UniMAP, Yayasan Pelajaran MARA, MAIPs, Jabatan Imigresen Perlis dan Bank Rakyat bagi memperkukuh ekosistem pendidikan serta memperkasa murid dan komuniti sekolah”, tambah Nor Haziani lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Mata Ayer School Achievers Gallery yang diwujudkan sebagai ruang khas untuk menghimpunkan segala kejayaan murid dan guru sekolah ini mempamerkan pelbagai anugerah seperti pingat, piala, serta pencapaian aspirasi dalam bentuk gambar dan koleksi kenangan daripada pelbagai aktiviti serta program sekolah. Ia bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, tetapi juga simbol kebanggaan warga sekolah.
FOTO