Nasionalpilihan

“Discover Putrajaya” ketengahkan 11 produk menarik untuk pembangunan pakej pelancongan

TOURISM MALAYSIA dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya telah menganjurkan program “Discover Putrajaya” Lawatan Produk Pelancongan dan Bengkel Pembangunan Pakej Putrajaya Untuk Agensi Pelancongan Dan Media 2022 dalam usaha merancakkan promosi pelancongan domestik.

Program ini bertujuan memastikan inisiatif yang berterusan bagi mempromosikan produk-produk pelancongan menarik dan unik di Putrajaya, khususnya menerusi pembangunan serta penjualan pakej oleh agensi-agensi pelancongan.

Sebanyak 10 agensi pelancongan dan empat wakil media menyertai program berkenaan yang berlangsung selama 3 hari bermula 13 Disember 2022 dengan 11 produk pelancongan diketengahkan mengikut syor Perbadanan Putrajaya meliputi tarikan utama, produk baharu, ekopelancongan, agropelancongan, gastronomi dan segmen pelancongan minat khas.

Produk-produk pelancongan tersebut merangkumi projek penternakan kelulut di Kebun Kelulut Komuniti Presint 15, kedai coklat terbesar di Lembah Klang iaitu Souq Shoppe@ Putra Mosque dan Putrajaya Story di Presint 1, Cruise Tasik Putrajaya, Glamping @ Wetland Putrajaya, Kompleks Nasyrul Quran yang merupakan pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia, Taman Ekuestrian Putrajaya, Taman Wetland, pantai buatan di Anjung Floria, Putrajaya Seafood Restaurant dan terbaharu, Taman Cahaya Putra Perdana @Tangga Putrajaya Presint 1.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Haji Zainuddin Abdul Wahab berkata, penganjuran program “Discover Putrajaya” merupakan salah satu usaha berterusan Tourism Malaysia dalam meningkatkan promosi pelancongan domestik selari dengan aspirasi kerajaan untuk terus memperkukuhkan sektor pelancongan dalam negara di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

“Melalui penganjuran lawatan dan bengkel pembangunan pakej pelancongan, para peserta bukan sahaja dapat merasai sendiri pengalaman melawat serta mendapatkan maklumat lebih terperinci berkenaan produk-produk pelancongan yang dilawati, malahan penambahbaikan tawaran pakej juga dapat disesuaikan dengan trend pelancongan terkini.

“Sebagai bandar yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan bertaraf dunia, promosi pelancongan Putrajaya harus terus dipertingkatkan selari dengan visi untuk mencapai Putrajaya mampan dan kea rah Global City,” katanya lagi. – SM

Artikel berkaitan > Tourism Selangor timba ilmu pelancongan komuniti di Bangkok

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button