
Disangka Jual Kosmetik, Rupanya Edar Dadah – Polis Bongkar Sindiket
SEORANG peniaga kosmetik berusia 35 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah premis kosong di Kampung Paya Keladi, di sini, pada 28 April lalu.
Serbuan yang dijalankan sekitar jam 8.40 malam itu membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram yang dianggarkan bernilai RM32,000. Dadah tersebut dipercayai mampu memenuhi permintaan kira-kira 6,000 penagih.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, susulan tangkapan itu, pihaknya turut menyita aset mewah milik suspek yang dipercayai hasil kegiatan haram tersebut dengan jumlah keseluruhan mencecah RM981,500.
Antara aset yang disita termasuk tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover. Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM7,700 serta pelbagai barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki.
“Saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis nimetazepam dan kini direman selama tujuh hari bermula 29 April hingga 5 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Polis kini giat mengesan saki-baki rangkaian sindiket yang dipercayai masih bebas dan menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 011-67351234.