NasionalTravel

MOTAC saran beli pakej pelancongan daripada pengusahaan pelancongan berlesen

RAKYAT Malaysia Madani disaran beli pakej pelancongan dengan pengusahaan pelancongan berlesen dan menempah premis penginapan pelancongan yang didaftarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya MOTAC bagi mengelakkan scam atau penipuan dan menikmati pelepasan cukai pendapatan individu.

Sehubungan itu, MOTAC dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) telah melaksanakan penguatkuasaan ke atas pengusahaan pelancongan dan premis penginapan pelancongan mulai 23 hingga 25 Jun ini.

“Penguatkuasaan ini dilaksanakan hasil daripada pemantauan MOTAC yang mendapati premis penginapan atau individu ataupun syarikat didapati telah menjual pakej pelancongan tanpa mendapatkan lesen daripada MOTAC terlebih dahulu.

“Perbuatan itu menyalahi Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] yang hanya membenarkan agensi pelancongan berlesen sahaja yang boleh menawarkan pakej pelancongan,” kata MOTAC dalam satu kenyataan, hari ini.

MOTAC juga menjelaskan, mana-mana syarikat atau individu termasuk PPP yang menjual pakej pelancongan hendaklah memohon lesen pengusahaan pelancongan mengikut Akta 482 melalui sistem TOURLIST (www.tourlist.gov.my).

Menurut MOTAC dalam kenyataan yang sama, sebanyak 85 premis pengusahaan pelancongan dan premis penginapan (hotel, rumah inapan, rumah tumpangan) telah diperiksa.

“Sebanyak tiga notis pemeriksaan telah dikeluarkan kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] iaitu tiada seorang pun boleh menjalankan, atau mengendalikan, atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan.

“Atau perniagaan agensi pelancongan melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah yang diberikan di bawah Bahagian ini.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM500,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” ujar MOTAC.

Bagi kesalahan berterusan, sebagai tambahan didenda tidak melebihi RM5,000 bagi setiap hari kesalahan, kata MOTAC lagi.

Selain penguatkuasaan yang dijalankan, MOTAC turut mengambil inisiatif untuk menjalankan advokasi supaya Premis Penginapan Pelancong (PPP) memohon pendaftaran PPP selari dengan Seksyen 31A, Akta 482 iaitu memperuntukkan mana-mana yang menjalankan atau mengendalikan premis penginapan hendaklah memohon kepada Pesuruhjaya untuk pendaftaran PPP.

Sekali lagi diingatkan kepada rakyat Malaysia Madani untuk membeli pakej pelancongan dengan pengusahaan pelancongan berlesen dan menempah premis penginapan pelancongan yang didaftarkan MOTAC bagi mengelakkan scam atau penipuan dan menikmati pelepasan cukai pendapatan individu.

Semakan boleh dibuat di laman sesawang rasmi MOTAC https://motac.gov.my/semakan. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button