BeritaNasional

Dilema Malaysia: Abu mayat Chin Peng dan perhimpunan bekas anggota PKM

SELEPAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berkata, itu hanya abu mayat pemimpin komunis Chin Peng dan kita juga perlu menghormati ahli keluarga berkenaan, satu perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) telah diadakan.

Ketika melawat Korea Selatan juga Mahathir tidak langsung menghormati tuan rumah apabila mengumumkan akan membuka kembali kedutaan Malaysia di Korea Utara.

Kenyataan Mahathir itu merupakan lampu hijau bahawa fahaman komunis tiada masalah di negara ini dan mereka dibenarkan berkumpul bagi mengubah naratif sejarah negara ini bahawa komunis juga pejuang yang menuntut kemerdekaan.

Jangan terkejut seluruh rakyat Malaysia akan menerima naratif dalam sekejap sahaja. Kebanyakan rakyat negara ini yang dewasa lebih tahu tentang buku Permata Yang Hilang berbanding sejarah negara mereka sendiri, bagaimana anggota tentera berkorban ketika memerangi pengganas komunis.

Kalau tidak percaya lihatlah nanti. Kita juga telah menerima negara China sebagai rakan dagang penting walaupun negara berkenaan adalah bapa kepada segala fahaman komunis yang masih ada di dunia ini selepas Jerman dan negara lain telah dikuasai demokrasi.

Ketika ini kebanyakan orang Melayu sedikit terkejut dan marah, tetapi marah mereka tidak bertahan lama. Ia tidak seperti di Indonesia fahaman komunis dibanteras sepenuhnya hingga saya pernah terlihat video seorang remaja dibelasah orang ramai kerana memakai jaket yang mempunyai logo komunis.

Orang Melayu sendiri yang akan membela perhimpunan itu sebagai hanya perhimpunan bekas ahli PKM yang sebelum ini walaupun telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Alasannya mereka bukan mahu menghidupkan fahaman komunis, tetapi hanya mahu memperbetulkan salah faham tentang perjuangan komunis.

Menteri Pertahanan, Mat Sabu sebelum menjadi menteri pernah berkata komunis juga adalah wira yang memperjuangkan kemerdekaan. Jadi tidak hairan apa jua pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dengan tentera juga membisu berhubung isu ini.

Entah apa yang menyebabkan mereka bisu mungkin ramai yang boleh menjangkakannya. Walaupun seteruk mana atau hodohnya wajah sesebuah kerajaan pasti ada penyokongnya yang mengagungnya demi kepentingan peribadi.

Lagi pun ramai orang Malaysia termasuk Melayu sering ke China menjalankan perniagaan dan tiada apa yang berbeza negara komunis dengan demokrasi. Apalah sangat ia hanya perhimpunan sahaja yang tidak akan menjejaskan apa-apa.

Lihatlah pemimpin DAP Ronnie Liu yang baru-baru ini menjadi tumpuan susulan kritikannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, memuji pendirian pengerusi PH itu berhubung isu abu mayat pemimpin komunis Chin Peng.

“Walaupun saya suka mengkritik Mahathir, saya fikir dia melakukan perkara yang betul mengenai perkara ini (isu abu mayat Chin Peng),” katanya.

Ahli jawatankuasa pusat DAP itu juga memuji bekas ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor dan penasihat media Mahathir, Abdul Kadir Jasin atas pandangan mereka mengenai isu itu.

Apa lagi yang ada Roboh sajalah Tugu Negara, kita bina tugu perpaduan lebih memberi makna untuk masa hadapan negara.

 

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button