NasionalpilihanPolitik

Digalakkan keluar mengundi awal kerana PRU kali ini ada pertambahan pengundi

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap orang ramai dapat keluar mengundi lebih awal Sabtu ini kerana ramalan cuaca adalah baik pada sebelah pagi di kebanyakan tempat seluruh negara.

Beliau berkata, keluar mengundi awal juga sangat digalakkan memandangkan jumlah pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin meningkat dengan pertambahan Undi18 tahun dan ke atas.

“Seboleh-bolehnya keluar awal kerana jumlah pengundi berlipat kali ganda berbanding sebelum ini.

“Jika ada ruang, keluar lah secepat mungkin terutama kalau keadaan cuaca baik…jangan tunggu saat-saat akhir kerana kita tak tahu apa yang akan berlaku (cuaca),” katanya kepada pemberita selepas hadir ke sesi town hall bersama mahasiswa di Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Terdahulu, MetMalaysia meramalkan tiada hujan pada pagi hari pengundian, Sabtu ini.

Bagaimanapun, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang, terutamanya di negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Suhu di seluruh negara pada Sabtu ini pula diramal sekitar 22 darjah Celsius, dengan suhu maksimum pada 33 darjah Celsius.l

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri ketika ditanya mengenai kes provokasi melibatkan penyokong Pas dan Pakatan Harapan di Bulatan Batu Enam dekat Kuala Nerus malam tadi, beliau berharap perkara itu tidak akan berulang lagi.

“Saya berharap semua penyokong parti politik di negara ini meredakan ‘ketegangan’ dan ‘kepanasan’ sepanjang kempen yang masih berbaki tiga hari lagi.

“Saya belum mendapat laporan sebenar apa yang berlaku malam tadi, namun, ia perlu disiasat dan dilihat dengan teliti bagaimana kejadian itu terjadi.

“Cuma saya menyeru penyokong-penyokong parti politik walau apa juga parti agar lupakan sengketa yang panas kerana ia tidak menguntungkan sesiapa pun. Saya rasa mesej ini mudah difahami semua orang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dalam satu kenyataannya pula memaklumkan provokasi seumpama itu tidak seharusnya berlaku dalam demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button