Hiburan

Difitnah rakan artis, Siti Nordiana buat laporan polis

BARU-baru ini kecoh di laman sosial berkenaan siaran langsung di Instagram yang disertai isteri Lan Solo iaitu,  Nur Sheila Hashim dan penyanyi, Syura Badron bersama beberapa individu lain.

Intipati siaran langsung berkenaan adalah berkenaan luahan perasaan dan menjawab persoalan berhubung konflik yang berlaku antara mereka dan penyanyi, Siti Nordiana.

Antara yang diperbualkan termasuklah dakwaan yang mengatakan mereka menumpang populariti Siti Nordiana dan perbuatan penyanyi itu yang menyebabkan sesetengah pihak produksi enggan memberi ‘job’ kepada mereka.

Terkesan dengan apa yang berlaku, Siti Nordiana membuat satu laporan polis susulan satu video live di Instagram yang dibuat rakan artis dan didakwa telah mencalarkan reputasinya sebagai penyanyi.

Menurut Siti Nordiana, laporan polis itu dibuat pada pukul 9.45 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Mengulas mengenai situasi yang berlaku melibatkan dirinya dan beberapa rakan artis yang lain, Siti Nordiana berkata dia tidak sedar langsung berkenaan siaran langsung tersebut dan hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan pengurusnya.

“Sebelum ini ada dengar ura-ura daripada peminat berkenaan isu ini yang dimesej oleh peminat kepada pengurus.

“Tetap saya tidak ambil peduli sangat dan teruskan kehidupan seperti biasa. Tetapi bila dah buat secara siaran langsung dan dipaparkan kepada orang ramai, saya memang tak boleh sabar sebab dah jejaskan kerjaya seni.

“Jadi saya terpaksa ambil tindakan untuk membersihkan nama saya,” katanya dalam sesi sidang media yang diadakan secara maya hari ini.

Turut serta pada sidang akhbar berkenaan adalah peguam Siti Nordiana iaitu Abang Azlan Abang Ariffin dari Abang Azlan & Associates.

Menurut Siti Nordiana, dia ralat kenapa perkara tersebut disebarkan ke media sosial sedangkan boleh diselesaikan secara bersemuka.

“Memang saya akui ada terima mesej daripada mereka tetapi tidak sempat untuk membalas. Lagipun saya risau kalau menerusi mesej ini boleh diputar belitkan.

“Sebab itu saya lebih suka untuk bersemuka secara berhadapan atau terus berhubung dengan panggilan telefon,” katanya.

Sementara itu, peguam penyanyi tersebut, Abang Azlan berkata, pihaknya telah berbincang dengan Siti Nordiana dan satu surat meminta permohonan maaf akan dihantar pada Isnin hadapan.

Jelasnya, surat permohonan maaf itu akan dihantar kepada lima individu dan kesemua mereka hendaklah membalas surat tersebut dalam tempoh masa 48 jam.

“Kita beri masa 48 jam sebab video rakaman siaran langsung telah dimuat naik di YouTube dan jika kita beri tempoh masa yang panjang, perkara itu akan terus menggangu kerjaya seni Siti Nordiana,” katanya. -SM

(Visited 684 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button