Luar NegaraUncategorized

Diego Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung

Argentina berkabung selama tiga hari sebagai penghormatan kepada legenda itu

LEGENDA bola sepak, Diego Maradona, yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman, meninggal dunia kerana serangan jantung pada usia 60 tahun, hari ini.

Penyerang Argentina itu, yang cukup terkenal dengan gelaran jaringan ‘hand of god’ sewaktu menentang England, meninggal dunia di kediamannya yang terletak di pinggir Buenos Aires.

Kematiannya itu setelah dua minggu menjalani pembedahan berikutan pendarahan otak.
Maradona, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-60, bulan lalu, telah lama menderita dengan masalah kesihatan yang memaksanya keluar masuk hospital sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari sebagai penghormatan kepada bintang bola sepak mereka itu, yang merupakan ikon budaya dan wira kebangsaan.

UEFA turut mengumumkan sebagai menghormati pemergian Maradona, sebelum perlawanan Liga Juara-Juara, malam ini (awal pagi waktu Malaysia) para pemain akan bertafakur selama seminit.

Gary Lineker, yang bermain bersama skuad England yang tewas menerusi jaringan Maradona pada 1986 menerusi kicauan di Twitter berkata: “Pemain terbaik sewaktu generasi saya dan sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi legenda sepanjang zaman.

“Setelah menjalani kehidupan yang diberkati tetapi bermasalah, mudah-mudahan dia akhirnya mendapat sedikit ketenangan di tangan Tuhan.”

Salah seorang pemain bola sepak paling berbakat dalam sejarah, kemuncak kepada kegemilangan Maradona ialah ketika dia menjadi kapten Argentina dan memenangi Piala Dunia pada tahun 1986.

Kariernya selepas itu, menjunam jatuh selepas dia disingkirkan daripada Piala Dunia 1994 kerana doping.
Bertahun menjadi hamba dadah, tidak menjaga pemakanannya dan masalah alkohol telah membawa kepada pengakhiran kariernya yang gemilang, dan dia hampir terbunuh kerana kegagalan jantung yang disebabkan oleh pengambilan kokain pada tahun 2000.

Legenda bola sepak Brazil, Pele antara yang bersedih dengan kematian bintang Argentina itu.
“Sudah tentu satu hari nanti kita akan menyepak bola bersama di atas langit sana,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Legenda bola sepak itu telah menghabiskan masa selama lapan hari di wad selepas dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan kecemasan kerana darah beku di dalam otak.

Peguam mendiang, Matias Morla menyifatkan, ia satu keajaiban Maradona masih bernyawa, dua minggu lalu dan menjelaskan, pembedahan tersebut merupakan detik paling sukar terpaksa diharungi legenda tersebut.

Bekas teman wanita Maradona menegaskan, sebelum subdural haematoma diketahui, mendiang sememangnya memerlukan rawatan segera ekoran masalah sebenarnya iaitu ketagihan alkohol.

Rocio Oliva menjalin hubungan hubungan bersama Maradona selama enam tahun selepas dia pulih daripada ketagihan dadah dan hampir berkahwin sebelum mereka berpisah pada penghujung 2018.

November lepas, bekas pemain bola sepak itu terpaksa menafikan bahawa dia kini sedang menanti ajalnya di dalam sebuah video yang ditujukan kepada para peminat selepas anak perempuannya memberi bayangan bahawa nyawa Maradona berada dalam ancaman kerana pengambilan ubat penenang.

Maradona juga pernah memberitahu anak-anaknya yang semakin meningkat dewasa bahawa dia tidak akan meninggalkan sebarang harta setelah kematiannya kerana dia akan menyumbangkan kekayaannya untuk amal kebajikan.

Dalam sebuah video yang kelihatan dirakam di kediamannya di Argentina, Maradona berkata: “Apa yang saya lakukan sekarang apabila anda semakin meningkat usia, orang lain lebih bimbangkan apa yang bakal anda wariskan berbanding apa yang anda lakukan.

“Saya beritahu anda bahawa saya tidak akan meninggalkan apa-apa pun, saya akan mendermakan harta saya itu.

“Saya tidak akan memberikan segala-galanya yang saya miliki sepanjang hayat saya, saya akan mendermakannya.”

Legenda Argentina itu memulakan kariernya bersama Boca Juniors sebelum berpindah ke Barcelona di mana dia memenangi trofi Copa del Rey. Namun, dia menjadi wira Naples selepas membantu Napoli merangkul dua gelaran Serie A pada lewat 1980-an.

Maradona juga pernah bermain bersama kelab Sepanyol, Sevilla sebelum kembali ke Argentina untuk menyertai Newell Old Boys dan Boca.

Mendiang turut mengetuai pasukan negaranya pada perlawanan akhir Piala Dunia 1990 di Itali dan dilantik selaku pengurus skuad kebangsaan Argentina di Afrika Selatan pada 2010.

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) menerusi kicauan dalam Twitter berkata: “AFA melalui Presiden, Claudio Tapia, mengucapkan takziah di atas pemergian legenda kita, Diego Armando Maradona.

“Anda akan sentiasa berada di dalam hati kami.”

Kapten England, Harry Kane berkata: “Satu penghormatan dapat bertemu dengannya. Satu berita yang sangat sedih. RIP Diego Maradona.” – The Sun – SM

(Visited 384 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button