Nasional

Agong ingatkan ahli politik jangan lagi heret negara ke kancah politik

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar ahli politik khususnya dan rakyat untuk bermuhasabah ketika negara berdepan dengan ancaman wabah Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan, agar ahli politik sekali lagi tidak mengheret negara ke kancah suasana politik yang tidak menentu.

“Berhubung dengan perkembangan terkini situasi politik negara, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat, khususnya ahli-ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

“Ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19,” kata Ahmad Fadli.

Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada Ahli-ahli Parlimen, semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu.

Baginda mahu ahli politik mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadli.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah S.W.T agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Ini berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya serta kewujudan beberapa kluster baharu Covid-19 di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

Seri Paduka Baginda turut menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu.

Tindakan tersebut dapat membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

“Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” kata  Ahmad Fadli.

Ketika ini iklim politik negara sedang hangat apabila beberapa pihak mengesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin meletakkan jawatan di tengah-tengah penularan Covid-19 dengan kes aktif mencecah hampir 6,000 kes semalam.-SM

 

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button