Rencah Hidup

“Dia Nak Meninggal di Tempat Suci” – Hasrat Arwah Jadi Kenyataan di Masjidil Haram

“Ma, jangan tinggal Abah.” Itulah pesanan terakhir yang sering diulang oleh seorang jemaah haji Malaysia, Allahyarham Abdullah Mat, 59, kepada isterinya sebelum rebah ketika menunaikan tawaf sunat di Masjidil Haram pagi Isnin lalu.

Isterinya, Sarifah Hassan, 57, berkata suaminya yang mengalami masalah penglihatan sejak di tanah air memang kerap mengingatkannya supaya tidak berjauhan, terutama ketika berada di kawasan sesak.

“Sejak di Malaysia, dia sudah pesan supaya jangan tinggalkan dia. Matanya kabur, sukar nampak jarak jauh. Sebab itu dia takut kalau terpisah. Tapi tak sangka, itu antara kata-kata terakhir dia,” kata Sarifah sebak ketika ditemui di Makkah.

Menurutnya lagi, malam sebelum kejadian, mereka berdua sempat menikmati air zamzam bersama dan membeli roti serta kek sebagai bekalan. Namun, pada malam itu, arwah memilih untuk berehat dan tidak menyertainya ke Masjidil Haram.

Keesokan paginya, Sarifah dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan bahawa suaminya rebah ketika bertawaf dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Allahyarham Abdullah merupakan seorang pesara dan sangat dikenali dalam kalangan masyarakat kampungnya di Sik, Kedah, sebagai seorang yang pemurah dan penyayang. Ketika Ramadan, beliau sering mengagihkan beras dan minyak masak kepada penduduk kampung serta menghadiahkan jubah kepada rakan-rakan terdekat sebagai tanda kasih.

Tabung Haji dalam kenyataan memaklumkan, semua urusan jenazah termasuk pengebumian dan badal haji untuk Allahyarham akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak mereka dengan penuh tertib dan hormat.

Pemergian Allahyarham di Tanah Suci mengundang rasa pilu namun dalam masa sama, disifatkan sebagai satu pemergian yang sangat mulia oleh keluarga dan rakan-rakan.

“Dia selalu cakap nak meninggal dalam keadaan suci, di tempat suci. Doa dia termakbul,” ujar Sarifah, penuh redha.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button