Politik

Stail ad-hoc, muslihat Muhyiddin bahayakan UMNO – Nur Jazlan

STAIL Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gemar membuat keputusan politik secara ad-hoc tanpa berunding dahulu dengan ketua-ketua pimpinan dalam Muafakat Nasional (MN) boleh membahayakan UMNO dan percaturan politik dalam pillihan raya umum ke-15.

Menarik perhatian itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, setakat ini belum pernah Muhyiddin memanggil satu mesyuarat rasmi melibatkan Bersatu, UMNO dan Pas dalam MN sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) tertubuh Mac lalu.

“Ini merupakan cara Muhyiddin buat keputusan secara ad-hoc dalam kalangan ketua-ketua parti dan tidaklah hairan kerana Bersatu sendiri `tidak ada orang’ tapi UMNO kita ikut kehendak grassroot (akar umbi) yang besar.

“Ini cara Muhyiddin demi kepentingan politiknya sebab itu timbul penggeseran antara UMNO dan Bersatu kerana stail Muhyiddin yang tidak ambil kira akar umbi berbanding UMNO secara demokratik,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Nur Jazlan berkata, salah satu contoh keputusan ad-hoc berkenaan adalah apabila Bersatu berubah secara drastik daripada sebuah parti Melayu menjadi parti bukan Melayu hanya seminggu selepas menyertai MN.

“Tiba-tiba ada ahli parlimen bukan Melayu boleh menjadi ahli bersekutu Bersatu. Ini bukan keputusan akar umbi tetapi (terus) dari pemimpin sedangkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi lebih suka buat keputusan ikut cita rasa akar umbi,” katanya.

Menurut Nur Jazlan, keputusan Biro Politik UMNO tempoh hari yang mempertimbangkan keluar dari PN dibuat oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) dan pengerusi-pengerusi perhubungan UMNO negeri yang mengikut kehendak akar umbi.

Pada masa sama, kata beliau, komitmen rakan asal MN iaitu Pas juga mencetuskan tanda tanya apabila keputusan Pas menyertai PN tidak mendapat persetujuan UMNO.

“Dan timbul kekeliruan sekarang manakah parti yang mengetuai blok kerajaan, MN atau PN? Sebab itu keputusan mahu cadangkan MN sebagai gabungan politik rasmi ini mendatangkan dilema kepada Pas. Takkanlah nak jadi ahli MN dan PN serentak?

Kata Nur Jazlan lagi: “Tindakan Biro Politik UMNO secara drastik mahu mempertimbangkan keluar dari kerajaan PN berpunca dari tindak tanduk Muhyiddin dan orang-orang kanannya semasa pilihan raya negeri Sabah yang mengetepikan UMNO.

“Orang UMNO di Semenanjung sudah tawar hati untuk sokong Muhyiddin dan PN. Secara moralnya, Muhyiddin sudah hilang sokongan dan hak sebagai Perdana Menteri. Apatah lagi PM yang dilantik ini daripada parti yang memiliki majoriti cuma dua kerusi.” -SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button